» » SPRM disingkirkan dari pasukan baharu petugas khas siasat skandal 1MDB dan wang RM2.6 bilion Najib Razak


Tanpa penyertaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pasukan petugas khas baharu yang menyiasat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hilang taringnya, kata Transparency International Malaysia (TI-M).

Pemerhati anti rasuah itu berkata, pengguguran SPRM daripada pasukan National Revenue Recovery Enforcement Team (NRRET) menunjukkan pihak berkuasa Malaysia sedang memanipulasi penyiasatan syarikat pelaburan strategik negara yang sarat hutang dan dana di dalam akaun perdana menteri.

Ini kerana, tiada sebarang alasan untuk mengetepikan SPRM dalam pasukan petugas khas terbabit susulan kes berkenaan didakwa melibatkan rasuah dan salah guna kuasa.

"Apa lagi yang lebih teruk apabila seseorang memanipulasi penyiasatan yang dilakukan demi kepentingan dan keuntungan dirinya sendiri?," kata Presiden TI-M Datuk Akhbar Satar dalam satu kenyataan hari ini.

"Jelas tanpa penyertaan SPRM, pasukan penyiasat ini hilang taringnya (atau mungkin tidak relevan) untuk menyelesaikan isu 1MDB dan akaun peribadi perdana menteri," katanya.

Akhbar turut mempersoalkan peranan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali dalam pasukan petugas terbabit, selepas beliau dilaporkan mengetuainya.

Beliau berkata, dalam pasukan petugas khas sebelumnya, peguam negara tidak mengawal siasatan, tetapi hanya memberikan nasihat dan input perundangan berhubung undang-undang di sekitar penyiasatan itu.

"Kini orang mula mempersoalkan kenapa peguam negara baharu mengambil alih peranan pasukan. Adakah beliau menentukan apa yang perlu dan tidak perlu disiasat atau bagaimana siasatan dilakukan?,"
katanya.

Akhbar berkata, pasukan petugas itu seharusnya merangkumi agensi penyiasatan yang tepat dan diketuai mereka yang tidak mempunyai "hubungan politik, tidak mengarut dan mempunyai rekod tadbir urus yang baik".

Beliau menggesa kerajaan tidak mencampuri urusan siasatan SPRM terhadap SRC International dan dana RM2.6 bilion yang didepositkan ke dalam akaun Datuk Seri Najib Razak.

NRRET dilaporkan dianggotai 5 agensi: Jabatan Peguam Negara, Bank Negara Malaysia, polis, Jabatan Kastam dan Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Pasukan petugas khas asal dibubarkan pada Ogos, sejurus selepas Apandi menggantikan Tan Sri Abdul Gani Patail sebagai peguam negara.

Beberapa anggota pasukan petugas khas terdahulu turut dipanggil untuk disoal siasat di Bukit Aman mengikut Seksyen 124 Kanun Keseksaan kerana aktiviti yang menggugat demokrasi berparlimen.



About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .