» » Segera tubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk pastikan siasatan skandal 1MDB lancar dan telus


Sebuah pertubuhan longgar yang menggelarkan diri mereka Gabungan Urus Tadbir, Integriti, Akauntabiliti dan Ketelusan (Giat) menggesa satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi memastikan segala persoalan mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terjawab.

Gabungan itu turut menyeru Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibenarkan menjalankan siasatan dengan bebas, tanpa rasa takut dan tidak berpihak.

"Giat menggesa segala tindakan menghalang kompetensi dan kebolehan SPRM segera dihentikan bagi membolehkan mereka menyiasat kesalahan rasuah yang mungkin berlaku.

"Pada masa akan datang perlu dipastikan tiada tindakan daripada pihak berkuasa yang dilihat sebagai ancaman atau gangguan kepada pihak penyiasat," kata Timbalan Presiden Transparency International Malaysia (TI-M) Dr KM Loi mewakili Giat.

Giat terdiri daripada Pusat Membasmi Rasuah dan Kronisme (C4), Rakan Kota Damansara, Institut Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (Ideas), TI-M dan Projek Sinar.

Giat berkata dengan pembubaran pasukan petugas khas menyiasat 1MDB, serbuan agensi berkaitan, pertukaran peguam negara secara tiba-tiba dan penangguhan siasatan 1MDB oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), integriti institusi awam utama kini kian terhakis.

Loi berkata SPRM perlu dibiarkan lebih bebas dan keputusan mengembalikan 2 pegawai agensi itu kembali bertugas diharap bukanlah satu lakonan.

"SPRM perlu lebih bebas. Kita sangat berharap mereka tidak disenyapkan dan berharap Bahri meneruskan siasatan dengan lebih terbuka," katanya merujuk kepada Pengarah Bahagian Operasi Khas SPRM Datuk Bahri Mohamad Zin.

Pertukaran Bahri dan Pengarah Komunikasi Strategik SPRM Datuk Rohaizad Yaakob ke Jabatan Perdana Menteri (JPM) hari ini ditarik balik.

Perkara itu disahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim kepada The Malaysian Insider.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa dalam satu kenyataan kemudiannya menjelaskan, keputusan itu dibuat selepas satu perjumpaan dengan kedua-dua pegawai itu yang turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Tan Sri Zabidi Zainal.

“Kedua-duanya memberikan penjelasan mengenai tindakan mengeluarkan kenyataan media.

“Susulan dengan penjelasan tersebut, saya membuat keputusan membatalkan pertukaran kedua-dua pegawai ke JPM dan kembali ke jawatan asal masing-masing di SPRM berkuat kuasa 10 Ogos 2015,” katanya.

Sementara itu, tinjauan mendapati mereka kini kembali ke pejabat masing-masing di ibu pejabat SPRM di Putrajaya.

Pemindahan Bahri dan Rohaizad diumumkan pada Jumaat, berikutan beberapa siri tangkapan polis dan soal siasat terhadap 7 pegawai SPRM berhubung dakwaan kebocoran maklumat rasmi mengenai syarikat pelaburan negara 1MDB.

Bahri secara kritikal mengecam tindakan polis terhadap anggota SPRM, termasuk serbuan di pejabat bahagian operasi khas, manakala Rohaizad menerima kunjungan sekumpulan pemimpin politik pembangkang yang pergi ke ibu pejabat SPRM minggu lepas bagi menyatakan sokongan.

Berikutan bantahan banyak pihak terhadap campur tangan dalam badan anti rasuah itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar pada Sabtu mengumumkan, polis akan menghentikan siasatannya terhadap SPRM berhubung dakwaan kebocoran maklumat itu buat sementara waktu.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .