» » Masalah sosial semakin kronik di Malaysia kerana guru dilayan TAK LEBIH HANYA SEKADAR PAPAN PUTIH SAHAJA


Baru-baru ini, dunia pendidikan kita dikejutkan dengan sekeping gambar yang tersebar luas di laman sosial yang menyentuh perihal seorang guru perempuan yang menulis perkataan tidak sopan di papan putih. 

Gambar tersebut bahkan lebih mencuri perhatian ramai apabila dikatakan, pelajar yang mengambil gambar semasa proses pengajaran dan pembelajaran itu menambah diskrepsi ‘guru biadap’ pada gambar tersebut.

Walaupun ia dinafikan sesetengah pihak sebagai perbuatan asal pelajar tersebut, namun tindakan guru itu sudah cukup untuk membuatkan kita berfikir jauh.


Seorang guru yang menulis, “Untuk mengelakkan aku stress, lantak ko la nak buat apa. Yang nak belajar, tolong siapkan karangan. Yang tak nak boleh berambus sekarang.” bukanlah semata-mata menggambarkan rasa tidak puas hati.

Namun lebih daripada itu, ia memberi mesej betapa guru pada hari ini, fungsinya tidak lebih daripada sekadar menjadi papan putih.
Papan putih yang pada bila-bila masa boleh dipadam tulisannya.

Boleh diconteng pada permukaannya.

Bahkan boleh dipukul dan dirosakkan pada bila-bila masa. 

Keadaan ini benar-benar berbeza dengan suasana pendidikan pada masa lalu di mana kita mampu untuk pandang guru sebagai seorang pendidik yang sangat holistik.

Guru bukan sahaja memindahkan ilmu, tapi juga mengajarkan akhlak secara tidak langsung. Guru itu bukan sekadar guru di dalam kelas, tetapi juga guru di luar kelas, malah di luar sekolah.

Mereka itulah guru yang memegang jari-jemari kita untuk menegakkan pensil bagi tujuan menulis. 


Mereka itulah guru yang mundar-mandir dari meja ke meja untuk memastikan latihan kita siap.

Mereka itu sebahagiannya adalah guru sains, tapi mengajar kita untuk tepati masa. 


Mereka itu sebahagiannya adalah guru matematik, tetapi selalu membuatkan kita insaf untuk terus menghormati ibu bapa.

Lebih jauh dari itu, mereka itu terkadang hanyalah jaga di sekolah, namun menjadi guru yang mengajarkan kita erti amanah supaya tidak ponteng sekolah!


Walau bagaimanapun, hari ini kita lihat, guru-guru semakin takut dan trauma.

Hatta untuk menghukum pelajar yang bising dan tidak siapkan kerja sekolah pun, kes tersebut dirujuk kepada guru disiplin.

Sedangkan pada waktu dahulu, guru disiplin hanya mengendali kes-kes berprofil tinggi. 


Manakala permasalahan dalam kelas sudah pun selesai dikendali guru-guru yang mengajar.

Fenomena ini jika dilihat secara bersungguh, bakal membentuk satu jalinan sistem yang tidak seimbang.

Isunya bukan semata-mata beban kerja yang menimbun terhadap guru disiplin.

Isunya bukan semata-mata wujudnya unsur humor apabila guru disiplin yang tidak berada dalam kelas memberikan hukuman terhadap kesalahan dalam bilik darjah.

Namun lebih daripada itu adalah tanggapan pelajar kepada guru-guru yang sedang mengajar. 

Mereka kini tidak rasa terdorong untuk melengkapkan kerja sekolah.

Akhirnya, disebabkan hak mendidik guru-guru semakin dinafikan, baik dalam bentuk sentuhan mahupun jarak jauh, maka cara terbaik untuk meluahkan kemarahan adalah sekadar menulisnya di papan putih.

Ini berlaku disebabkan guru tidak lagi mempunyai kuasa mengawal kelas dengan sempurna. 

Dengan sikap pelajar yang suka membuat bising dan tidak mengendahkan kata-kata guru, ditambah dengan tegahan menengking pelajar, akhirnya tulisan sahajalah kaedah yang berbaki untuk luah perasan.

Itu pun masih ramai yang mengecam tindakan setamadun itu sebagai perbuatan biadap kepada pelajar. 

Setelah sekian banyak hak mendidik guru-guru disekat, apa lagi yang berbaki bagi guru-guru untuk mengambil inisiatif mendidik?

Sebahagian kita tampil dengan idea merit demerit. 

Buku-buku catatan dicetak.

Kertas-kertas dokumentasi difailkan. 

Namun dalam masa yang sama, bilangan guru amat terhad atas kekangan kewangan.

Ditambah pula dengan kerja-kerja pengkeranian yang bertingkat-tingkat, akhirnya kesalahan pelajar yang dilakukan secara berkelompok, malah berlaku dalam tempoh masa yang sangat singkat, menghasilkan timbunan kes yang tidak selesai secara efisyen.

Kendalian kes yang lewat, sebetulnya dari sudut undang-undang, tidak lagi sah.

Maka, tujuan untuk memberi keadilan kepada pelajar tidak dapat direalisasikan kerana hanya sebahagian pelajar sahaja yang dikendalikan kesnya dengan teratur dan cermat. 

Kes selebihnya mungkin akan terbiar begitu sahaja.

Sebahagian daripada kita pula tampil dengan idea kaunseling. 

Pandangan ini sebenarnya lebih mempunyai nilai ketamadunan dan lebih ilmiyyah.

Tetapi, apa yang berlaku sangat menyedihkan. 

Psikologi kaunseling yang pada kaca akademiknya sangat luas, kini dihadkan semata-mata pada sudut ‘reward’, tidak lagi diseimbangkan dengan ‘punishment’.

Hanya melihat sifat marah adalah unsur negatif, manakala sifat kasih sayang adalah lebih positif. Ini lebih parah apabila tangan-tangan feminis menulis, 

Rasulullah adalah seorang penyayang dan benci kepada kemarahan.

Menafikan sifat Rasulullah yang maskulin sekali gus menafikan Rasulullah pernah denda dan hukum para sahabat. 

Bahkan mungkin, Rasulullah ketika menghayun pedang menebas kepala musuh, Rasulullah sedang tersenyum.

Kegagalan kita dalam memahami hikmah di sebalik kepelbagaian jenis emosi yang ada pada manusia, akhirnya membentuk sebuah komuniti yang tidak dinamik. 

Lupakah kita, ada dari kalangan sahabat Rasulullah itu, adalah orang yang bengis, pemalu, pelawak, pendekar, pemikir, dan lain-lain lagi.

Pun begitu, Rasulullah tidak memaksa mereka untuk beremosi dan bersikap dengan corak emosi Rasulullah sahaja. 

Rasululllah bahkan mengiktiraf karektor masing-masing dengan pemposisian yang stretegik hingga menghasilkan gerak kerja yang dinamik.

Terlalu banyak sudut yang boleh kita bahaskan untuk mencari punca gagalnya kemenjadian pada zaman ini. 

Sebahagian besarnya kita boleh berbeza pendapat.

Namun kita perlu sepakat, sekolah bukanlah sebuah syarikat yang mempunyai jalinan sistem yang saling melengkapi. 

Kualiti tata-kelola sekolah takkan setanding kualiti tatatkelola sebuah syarikat bermodal jutaan ringgit.

Untuk itu, menodai hak mendidik guru-guru adalah tindakan yang tidak wajar.

Kita tidak perjuangkan agar guru-guru diberi hak merotan dan menghukum sesuka hati. 

Kita sedar, selari dengan sikap murid-murid sekarang yang tidak sama dengan murid-murid dahulu.

Sikap gruru-guru sekarang juga tidak sama dengan guru-guru dahulu. 

Kes-kes yang membuktikan guru bersikap kasar dan ganas, tidak kita nafikan demi takhta sebuah keegoan.

Bagaimanapun, seharusnya satu mekanisme berbentuk panduan dan perundangan bertulis diwujudkan agar guru-guru mendapat keberanian untuk mengawal kelas dengan baik.

Teknik-teknik ‘coaching’ daripada seminar-seminar motivasi seharusnya dikursuskan kepada guru bagi memberi harapan baru kepada guru-guru, mereka mempunyai hak untuk ambil tindakan tehadap pelajar.

Moga-moga dengan wujudnya panduan ini, guru-guru yang berniat murni lebih yakin dan bersemangat untuk mendidik anak bangsa. 

Kita mahukan guru yang dahulunya disifatkan sebagai lilin yang menerangi, bukan guru yang bersifat papan putih seperti hari ini.




About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .