» » Akan ada banyak HOMELESS atau orang tiada di rumah di Malaysia jika harga rumah tidak dikawal


Putrajaya membenarkan harga rumah di Malaysia menjadi "terlalu mahal", kata Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA) sambil memberi amaran yang masalah ini akan melahirkan "generasi gelandangan" pada masa depan jika langkah sewajarnya tidak diambil terhadap peningkatan mendadak nilai hartanah.

HBA mengatakan mereka sudah memaklumkan Putrajaya sebelum ini yang harga hartanah melambung tinggi di luar kemampuan majoriti rakyat Malaysia dan langkah memberi subsidi kepada golongan berpendapatan rendah tidak akan dapat menyelesaikan masalah.

"HBA sudah memberi amaran kepada kerajaan bertahun lamanya yang harga hartanah kini melangkau jauh dari kemampuan majoriti rakyat Malaysia.

"Dan sekiranya langkah sewajarnya tidak diambil kerajaan, ia akan melahirkan 'generasi gelandangan' yang akan membawa kepada pelbagai masalah sosial.

"Perkara ini (subsidi) boleh dilaksanakan tetapi, kerajaan sudah bertahun lama menyediakan subsidi dan perumahan sosial bagi golongan miskin, tetapi adakah ia dapat membantu untuk menambah baik kehidupan mereka? Tidak," kata Setiausaha Agung Kehormat HBA, Chang Kim Loong.

HBA tidak terkejut dengan hasil kajian yang didedahkan Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) baru-baru ini, di mana harga purata rumah di Malaysia adalah 4 kali ganda lebih tinggi berbanding pendapatan median penduduk, sekali gus menjadikan ia "terlalu di luar kemampuan" (seriously unaffordable), kata Chang kepada The Malaysian Insider.

Kuala Lumpur khususnya dilabel sebagai kawasan "sangat di luar kemampuan" (severely unaffordable) dengan harga rumah 5.4 kali ganda lebih tinggi berbanding median pendapatan penduduk di ibu kota.

Terengganu adalah antara kawasan sangat di luar kemampuan berbanding semua negeri di Malaysia dengan mencatatkan median kemampuan memiliki rumah pada 5.5.

Pulau Pinang turut disenaraikan antara negeri yang mencatatkan median kemampuan memiliki rumah yang tinggi manakala Selangor, negeri terkaya Malaysia merekodkan median sebanyak RM300,000 sekali gus meletakkannya di peringkat "sederhana mahal".

Julat median maksimum harga rumah berbanding pendapatan median tidak sepatutnya melebih tiga kali ganda pendapatan median, menurut laporan KRI.

KRI juga berkata kelas menengah rakyat Malaysia mungkin memerlukan subsidi kerajaan bagi pembelian rumah jika harga hartanah semasa terus meningkat.

Chang berkata, pemberian subsidi bukan satu penyelesaian yang holistik kerana kerajaan perlu mengubah mentaliti daripada "memberi ikan" kepada rakyat kepada mengajar rakyat "bagaimana menangkap ikan" atau memberi kuasa kepada mereka.

"Apakah penyebab kenaikan harga rumah? Saya bukan pakar atau ahli ekonomi tetapi saya percaya puncanya ialah sikap tamak – pemaju, pihak berkuasa dan setiap pemain dalam industri perumahan," katanya.

"Mustahil untuk memantau moraliti manusia tetapi kita boleh mengawal harga rumah. Kenaikan tersebut mestilah munasabah kepada peningkatan dalam pendapatan tahunan seseorang individu."

Kerajaan, katanya juga boleh mengawal margin keuntungan dalam penjualan hartanah malah ada industri lain di mana margin keuntungan syarikat dikawal.

"Jika kerajaan boleh letakkan kawalan dan peraturan yang cukup ketat ke atas industri minyak dan gas di negara ini, mengapa tidak boleh perkara yang sama dilakukan kepada industri perumahan di mana pembeli secara individu menghadapi risiko paling tinggi dari segi kewangan dan emosi berbanding pemain lain?

"Dan kawalan margin keuntungan ini bukan sahaja dikenakan ke atas pemaju tetapi perlu dilibatkan kepada semua sub-kontraktor, pembekal, penjual, dan sebagainya," katanya.

Chang juga berkata, terdapat keperluan segera untuk membendung spekulasi berlebihan yang mendorong peningkatan harga hartanah sejak kebelakangan ini, sambil menegaskan, faktor yang paling mempengaruhi kos ialah permintaan dan bekalan.

"Kita perlu menghapuskan spekulasi yang berlebihan yang mendorong kenaikan harga hartanah. Apabila permintaan melebihi bekalan, harga akan naik.

"Ketika harga rumah siap didorong spekulasi berlebihan, pemaju biasanya akan melancarkan projek baharu pada harga premium berbanding harga semasa rumah siap.

"Oleh itu, harga ketika pelancaran projek baharu dan rumah yang siap adalah saling berhubungkait. Apabila harga salah satunya naik, yang lain akan meningkat," katanya.

Kerajaan, katanya, mesti mengambil langkah melambatkan kenaikan harga hartanah disebabkan oleh spekulasi yang berlebihan dan membina lebih banyak hartanah yang mampu dimiliki golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Beliau memberi amaran, trend harga hartanah seperti menunjukkan harga akan terus meningkat di luar jangkauan majoriti rakyat dengan generasi masa depan merasakan diri mereka terperangkap kerana tidak mampu memiliki kediaman sendiri.

"Anak muda tidak mampu memiliki sebuah rumah pada harga yang berpatutan, sesuai dan selesa untuk didiami, yang tidak memerlukan mereka menderita membayar pinjaman bank atau mengharungi perjalanan panjang berulang alik ke tempat kerja kerana tinggal di kawasan yang jauh terpencil tetapi selesa.

"Anak muda perlahan-lahan menjadi generasi gelandangan. Harus diingat, mereka merupakan pemacu ekonomi masa depan bandar.

"Oleh itu, kerajaan perlu mengambil langkah wajar dan proaktif untuk membendung peningkatan tidak terkawal harga rumah," kata Chang.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .