» » Khairuddin Abu Hassan buat laporan polis di London berkaitan skandal 1MDB dan PetroSaudi


Bekas pemimpin Umno Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan membuat laporan dengan polis British terhadap syarikat bermasalah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan PetroSaudi International berhubung dakwaan kes pengubahan wang haram.

Bekas naib ketua Umno Bahagian Batu Kawan itu berkata menerusi posting di akaun Facebook miliknya, beliau membuat laporan di Balai Polis Charing Cross semalam pada pukul 6.30 petang waktu London.

Beliau ditemani peguamnya Matthias Chang, yang merupakan pembantu kepada bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Laporan polis ini adalah berkisar kepada pengubahan wang haram 'money laundering' di antara syarikat Petrosaudi International dan 1MDB untuk disiasat 'The Proactive Money Laundering Investigative Team'.

"Pihak Polis Metropolitan London juga menghubungi peguam saya Matthias Chang dan berikrar untuk memberi kerjasama dalam melaksanakan penyiasatan aktiviti penggubahan wang haram rentas sempadan ini secara komprehensif serta telus," katanya.

Khairuddin yang dipecat daripada Umno tahun ini selepas beliau diisytiharkan bankrap berkata, Chang juga mengesahkan beliau dihubungi polis UK semalam.

Beliau berkata, cara terbaik untuk mencari keadilan ialah melalui undang-undang antarabangsa kerana pengubahan wang haram yang dikatakan itu berlaku di sekurang-kurangnya enam negara.

"Biarlah kita serahkan juga kepada proses undang-undang antarabangsa bagi menyiasat, seterusnya menzahirkan secara terbuka kepada 30 juta rakyat Malaysia di manakah punca kesilapan kes skandal 1MDB ini!

"Undang-undang antarabangsa ini juga sikit sebanyak dapat membantu kerajaan Malaysia yang nampak tidak mampu serta tidak berkesan bagi mencari kebenaran kes skandal 1MDB secara mutlak!" katanya.

Ini bukan kali pertama Khairuddin membuat laporan terhadap 1MDB.

Dalam laporan polis Disember lepas, beliau menggesa siasatan "terperinci dan menyeluruh" ke atas 1MDB dan menggesa pihak berkuasa menyoal siasat pengarah syarikat itu serta mereka yang lain yang terbabit dalam skandal itu.

Sebulan kemudian, beliau membuat laporan yang sama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menggesa badan anti-rasuah itu meneliti laporan dakwaan salah urus dalam firma negara itu, yang mencatatkan hutang RM42 bilion dalam tempoh enam tahun beroperasi.

Pada Jun tahun ini, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata polis menamatkan siasatan mereka ke atas 1MDB dan sedang menunggu arahan selanjutnya daripada peguam negara.

Khairuddin juga membuat laporan dengan polis Perancis bulan lalu terhadap 1MDB dan mendakwa polis Lyon pernah menghubunginya dan memaklumkan kepadanya siasatan sedang dijalankan.

Dua hari lepas, beliau mengemukakan bukti yang berkaitan dengan 1MDB kepada Peguam Negara Switzerland di Bern, meminta pihak berkuasa negara itu menyiasat aktiviti syarikat tersebut yang melibatkan bank Switzerland dan beberapa bank antarabangsa.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .