» » Kerajaan tidak kisah menjadi tidak popular bila sekatan internet dilaksanakan di Malaysia


Putrajaya bersedia menerima akibat dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang jika dasar keselamatan yang diguna pakai sekarang tidak berkesan dan tidak berfaedah kepada rakyat, kata Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Menteri kesejahteraan bandar, perumahan dan kerajaan tempatan itu bagaimanapun berkeyakinan rakyat menyokong usaha yang dimainkan kerajaan terutamanya dasar bagi mengatur penggunaan Internet di negara ini.

"Kami sanggup meletakkan masa depan kami sebagai parti politik biarkan rakyat putuskan 3, 4 tahun dari sekarang apa kedudukan yang kita ambil dalam keselamatan dihargai rakyat.

"Kita berasa rakyat bersama-sama dengan kerajaan dalam isu ini iaitu meminta kerajaan mengambil tindakan sewajarnya untuk memastikan penyebaran maklumat yang salah, melagakan antara kaum dengan lain dan semangat kenegerian yang melampau ancaman kepada perpaduan negara.

"Kita bersedia berdepan akibat baik daripada segi pembangkang mahupun rakyat," katanya pada satu sidang media yang diadakan di Petaling Jaya hari ini.

Rahman berkata keselamatan negara dan kestabilan ekonomi adalah tanggungjawab kerajaan yang memerintah maka ia sangat penting dibiarkan bebas tanpa gangguan.

Katanya, walaupun pemimpin pembangkang mahukan ekonomi yang baik, stabil dan maju namun jika negara berdepan masalah, ia merupakan satu bonus politik kepada mereka.

"Sebab itu, kestabilan dan keselamatan negara tidak boleh dipertanggungjawabkan semata-mata kepada pembangkang. Ia mesti kerajaan yang memerintah.

"Kerajaan yang memerintah kalau dia membuat undang-undang yang menjaga keamanan, mereka akan berdepan dengan rakyat, 5 tahun dalam pilihan raya.

"Di situ nanti ia akan diuji sama ada dasar menjaga keamanan dan keselamatan negara itu diterima rakyat atau tidak," katanya.

Mengulas mengenai cadangan kawalan Internet oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Rahman berkata kawalan bukanlah terma yang sesuai untuk digunakan di Malaysia.

Katanya, Internet dan media sosial masih memberi sumbangan besar kepada sektor komunikasi dalam negara walaupun terdapat segelintir ruang yang mampu memberi kesan buruk.

"Perkataan mengawal mungkin perkataan yang keras. Secara dasar untuk mengatur berdasarkan amalan terbaik semua negara di dunia.

"Kita tidak akan membatalkan atau menyekat Internet. Kita bersetuju Internet dan media sosial ini penting.

"Kita faham ada fungsi media sosial ini yang baik sekali malah saya merasakan majoriti penggunaan media sosial adalah untuk perkara baik," katanya.

Pengarah komunikasi strategik Barisan Nasional itu berkata Internet di Malaysia selama ini berperanan dalam bidang perbankan, mendekatkan ahli keluarga dan perbincangan isu yang bermanfaat.

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .