Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengesahkan 5 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merupakan antara yang ditahan kerana disyaki terlibat dengan kegiatan kumpulan militan Isis, 2 hari lepas.
Sehubungan itu, ATM menyerahkan sepenuhnya kepada Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman untuk menjalankan siasatan.
Hishammuddin bagaimanapun enggan mendedahkan butiran lanjut mengenai 5 anggota berkenaan bagi mengelakkan siasatan terjejas, dan hanya berkata mereka terdiri daripada anggota berpangkat rendah.
"Lima anggota ATM itu digantung tugas serta merta. Ini bermakna setakat hari ini, 11 anggota tentera ditahan (kerana disyaki ada kaitan) dengan Isis," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Kota Baru, hari ini.
Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dilaporkan berkata polis menahan 10 warga tempatan termasuk 6 anggota pasukan keselamatan kerana disyaki terlibat dengan kegiatan kumpulan militan Isis dalam operasi serentak di Kuala Lumpur dan 5 negeri pada Rabu lepas.
Hishammuddin berkata walaupun penglibatan anggota tentera dengan kegiatan kumpulan Isis tidak terlalu serius namun ATM mengambil langkah proaktif menghalang gerakan dari luar negara itu daripada menular di Malaysia.
"Ini merupakan fenomena yang kita kawal rapi dan kita bekerjasama rapat dengan agensi-agensi risik di seluruh dunia kerana tidak ada negara yang terkecuali daripada sentuhan Isis ini," katanya.
Beliau berkata ATM akan mengambil tindakan tegas terhadap anggotanya yang disyaki ada kaitan dengan kumpulan Isis.
"Dalam Asean, saya mempengerusikan mesyuarat menteri pertahanan membuat pendirian yang bulat tidak sekali-kali menyokong atau membenarkan Isis menular di rantau kita. Setiap negara akan mengambil tindakan masing-masing agar Isis tidak bertapak di sini," katanya.
Sementara itu, Hishammuddin berkata pihaknya mengikuti rapat perkembangan insiden pengeboman di Bangkok, Thailand pada Isnin lepas, untuk mengetahui adakah insiden itu memberi risiko kepada Malaysia.
Beliau dimaklumkan rakan sejawatannya sebarang maklumat yang disahkan berkaitan kejadian berkenaan akan dipanjangkan kepada pihak Malaysia.
Dalam kejadian letupan bom di persimpangan Ratchaprasong berdekatan Kuil Erawan dan pusat beli-belah di Bangkok pada 7 malam (8 malam waktu Malaysia) Isnin lepas, 5 rakyat Malaysia terkorban dan 3 lagi cedera.
Mereka antara 20 yang maut dan 123 yang cedera akibat letupan bom itu, satu daripada kes keganasan paling buruk di Bangkok dalam tempoh beberapa bulan lepas.
No comments: