Presiden Persatuan Bekas Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Abdul Razak Idris mengulangi gesaan agar satu suruhanjaya khusus ditubuhkan bagi memastikan agensi itu lebih bebas dan berwibawa.
Razak membuat gesaan itu dalam kenyataan menyambut baik tindakan polis menghentikan buat sementara waktu siasatan terhadap SPRM berhubung tuduhan membocorkan maklumat siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
"Saya juga mengambil kesempatan mahu mengesyorkan agar cadangan mewujudkan Suruhanjaya Perkhidmatan Pegawai Pencegahan Rasuah dilaksanakan dengan segera bagi memastikan kebebasan SPRM terus terjamin," katanya.
April lalu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Shukri Abdull berkata penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Pegawai SPRM bertujuan membolehkan SPRM melantik dan memecat pegawainya tanpa melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).
Dengan cara itu, ketua pesuruhjaya akan dilantik secara bebas melalui Perlembagaan dan dengan perkenan Majlis Raja-Raja.
Tengah hari tadi SPRM menyambut baik langkah polis menangguhkan buat sementara waktu siasatan dakwaan kebocoran maklumat terhadap agensi itu.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Mustafar Ali berkata, tindakan polis itu akan menenangkan keadaan buat sementara waktu.
"SPRM berpendapat tindakan ini akan membantu mengatasi suasana tidak senang yang wujud sekarang.
"SPRM memahami tugas dan tanggungjawab PDRM, dan begitu juga PDRM berkenaan dengan tugas dan tanggungjawab SPRM.
"SPRM ingin jelaskan suruhanjaya ini komited untuk menjalankan tugas membanteras jenayah rasuah secara bebas, telus dan profesional," katanya dalam kenyataan.
sumber



No comments: