» » Akar umbi UMNO kecewa usul ganggu-gugat kedudukan Najib Razak disekat


Ahli Umno di peringkat akar umbi kecewa dengan tindakan pemimpin bahagian yang menyekat usul dibangkitkan terhadap presiden parti Datuk Seri Najib Razak, yang ketika ini berdepan kritikan banyak pihak yang tidak berkenan dengan cara beliau menangani isu semasa.

Mereka tidak setuju dengan ketua bahagian yang menghalang usul yang dianggap sensitif dibawa pada mesyuarat perwakilan bahagian yang ketika ini sedang diadakan menjelang perhimpunan agung Umno hujung tahun ini.

Antara dua usul yang dikatakan sensitif ialah meminta Najib berundur supaya dapat menjelaskan segala isu kontroversi dan tidak menangguhkan sehingga 2018 pemilihan parti yang sepatutnya diadakan tahun depan.
"Ketua bahagian kata, ikut sahaja, tidak perlu melawan arus.

"Kami cuba sampaikan apa yang sedang dirasai akar umbi dan bawa usul, tetapi lain pula dengan pemimpin atas di bahagian," kata perwakilan Wanita Umno Bahagian Sepang yang mahu dikenali sebagai Azlin Mohamad kepada The Malaysian Insider.

Katanya, tindakan tersebut seolah-olah menafikan suara akar umbi walhal krisis dihadapi Umno ketika ini sesuatu yang serius dan jika tidak ditangani akan memberi kesan buruk kepada parti dalam menghadapi pilihan raya umum nanti.

"Susah sekarang. Sangat sukar kami di akar umbi mahu menjelaskan mengenai keadaan sekarang.

"Hendak hadapi pilihan raya macam mana kalau ia berterusan?" soalnya.

Antara yang dibangkitkan Azlin juga ialah mengenai wang yang dikatakan derma bernilai RM2.6 bilion dimasukkan ke akaun Najib.

"Mengapa sekarang baru beritahu? Masa awal dahulu tidak pula presiden mengaku dan buat penjelasan," katanya.

Beliau berkata, tindakan tersebut sudah pun merosakkan parti dan menyebabkan timbul rasa curiga di kalangan ahli parti sendiri.

"Sudah rosak baru hendak betulkan. Adakah mereka ingat ahli Umno mudah dikelirukan?" Azlin menimbulkan persoalan.

Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak juga baru semalam disaman seorang ahli Umno supaya beliau menjelaskan skandal 1MDB yang membelenggu parti secara langsung. – Gambar fail The Malaysian Insider, 29 Ogos, 2015.Sementara itu, perwakilan Umno Kota Tinggi, Shez Mohamad juga berkongsi situasi sama yang dihadapi di bahagiannya apabila pihak atasan menasihatkan supaya tidak mengambil tindakan yang drastik semasa mesyuarat berlangsung.

"Ketua bahagian sudah berpesan supaya tidak buat benda pelik, jadi ikut sahaja lah.

"Semua ambil jalan selamat," kata Shez kepada The Malaysian Insider merujuk kepada mesyuarat yang berlangsung pada hujung minggu lalu semasa mesyuarat perwakilan yang dirasmi Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

"Kena halang, sudah tentu. Kalau kami bawa pun, belum pasti akan lulus, dengan ketua bahagian sendiri pun sudah menasihatkan kepada perwakilan," katanya.

Bagaimanapun, Shez memberitahu, terdapat 2 bahagian di Johor, iaitu Segamat dan Gelang Patah yang berjaya meluluskan usul menggesa supaya Najib berehat.

Selain itu, situasi sama dihadapi di Bahagian Hulu Selangor apabila usul bekas ketua Pemuda cawangan Keliang, Moohamad Faizal Abdul Raub, menggesa supaya presiden memberi penjelasan mengenai skandal melibatkan dirinya, tidak diterima.

"Saya menggesa supaya presiden menjelaskan mengenai kemelut yang terpalit kepada dirinya, tetapi usul tersebut tidak diangkat.

"Malah, semasa perbahasan, ketua bahagian juga tidak senang dengan ucapan yang dianggap pedas dan lantang kepada presiden," katanya.

Mengulas perkembangan terkini itu, bekas naib ketua Pemuda Umno Johor Datuk Khairul Anuar Rahmat mempersoalkan sama ada ruang demokrasi dalam parti sudah tidak ada lagi.

"Ke mana demokrasi dalam berparti kalau keadaan ini berterusan? Suara akar umbi di bawah yang menjadi teras kepada parti selama ini,"
katanya kepada The Malaysian Insider.

Mesyuarat bahagian bakal berakhir hujung minggu ini dan usul yang dibawa pada peringkat ini kemudiannya akan diserahkan ke badan perhubungan negeri sebelum dibawa untuk dibahas pada perhimpunan agung nanti.

Najib ketika ini berdepan kemelut kepercayaan dan keyakinan dalam partinya sendiri yang terjejas, berpunca antaranya daripada kemelut berkaitan syarikat yang diilhamkan beliau, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau juga dibelenggu isu dana RM2.6 bilion dalam akaun bank peribadinya, sebahagian besar yang didepositkan tidak lama sebelum pilihan raya umum Mei 2013.

Walaupun sumbangan itu digambarkan sebagai sokongan kepada pendirian Malaysia menentang keganasan dan menegakkan ajaran Ahli Sunnah wal Jamaah di negara ini, tiada jawapan diberi tentang ke mana dana itu digunakan.

Semalam, pemimpin Wanita Umno Langkawi Anina Saaduddin memfailkan saman terhadap Najib berhubung sumbangan RM2.6 bilion itu, mengatakan beliau percaya presiden itu melakukan pecah amanah dan melanggar perlembagaan parti.

Majlis Tertinggi Umno sebelum ini memutuskan untuk menangguhkan selama 18 bulan pemilihan untuk barisan kepimpinan baru yang mengikut jadual asal diadakan tahun depan.

Ini bermakna, Umno hanya boleh menukar kepimpinannya pada tahun 2018, mungkin selepas pilihan raya umum yang akan diadakan sekitar pertengahan tahun itu.





About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .