Mana-mana ahli politik daripada pembangkang mahupun kerajaan, bebas menerima sumbangan atau bantuan kewangan dari negara luar, selagi tiada undang-undang yang menghalang serta mengawal selia kemasukan dana politik itu di negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata Malaysia tidak seperti sesetengah negara yang mempunyai peraturan khas untuk mengekang ahli politik menerima dana daripada penyokong.
"Jadi, sekarang kalau nak bercakap pasal Barisan Nasional (terima dana politik), saya nak beritahu parti pembangkang pun banyak terima.
"Contohnya, ketika sidang Parlimen berlangsung, saya lihat ramai ahli-ahlinya keluar masuk Dewan dan pergi ke luar negara kerana dijemput untuk bercakap di platform antarabangsa... siapa yang bayar," katanya.
Beliau menyatakan demikian sebagai reaksi terhadap tuntutan pembangkang agar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mendedahkan sumber pembiayaan politik Umno, pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) di Kota Tinggi hari ini.
Ahli Parlimen Pengerang itu berkata jika pembangkang masih merasakan sumbangan politik itu adalah sesuatu yang diperlu dikawal selia, maka mereka perlu mengusulkan perkara itu dalam persidangan Dewan Rakyat.
"Untuk berlaku adil, saya sebagai menteri yang bertanggungjawab dalam Hal Ehwal Parlimen berjanji akan mengkaji sendiri usul yang diberikan," katanya.
sumber
No comments: