Pemegang award Aktres Terbaik di Anugerah Skrin TV3 pada 2001 ini mengakui sangat merindui dunia lakonan.
Malah, Datin Zizie Ezette masih mendambakan beberapa watak yang belum pernah dilakonkannya semasa aktif berlakon dahulu.
“Tipulah kalau saya katakan tak rindu berlakon. Mana mungkin saya mampu melupakan dunia yang banyak memberikan pengalaman dan mematangkan diri saya sebelum ini,” ujarnya,
Aktres jelita berusia 37 tahun ini berkata begitu kepada majalah Wanita semasa ditemu bual untuk kolum ‘Penghias Kulit’ majalah itu.
Beliau menghiasi muka hadapan majalah Wanita keluaran Ogos 2015 yang kini sudah berada di pasaran.
Zizie yang pernah mendapat pengiktirafan sebagai pelakon wanita terbaik menerusi drama berjudul Aduhai Esah ini lebih banyak membabitkan diri dengan kerja-kerja di belakang tabir semenjak mendirikan rumah tangga.
Aktres berkulit putih gebu ini sudah hampir tujuh tahun menjadi isteri kepada Ahli Parlimen Kinabatangan, Sabah, dari Barisan Nasional – UMNO, Datuk Bung Raden, 54.
“Buat masa ini, saya lebih selesa memberi tumpuan terhadap kerja-kerja produksi di bawah syarikat penerbitan milik saya, BZ 2121.
“Setakat ini, syarikat saya telah menyiapkan tiga buah drama yang masih menunggu waktu tayangannya di stesen TV tempatan,” cerita anak kepada pelakon, Khaty Fauziah dan kakak kepada aktor popular, Shaheizy Sam ini.
Meskipun lebih selesa duduk di kerusi produser, namun ia tidak bermakna Zizie melupakan terus kerjaya lakonan.
“Insya-Allah, apabila sampai masanya, saya pasti kembali mewarnai dunia lakonan tanah air. Apatah lagi, suami turut memberi keizinan.
“Sebolehnya, saya tidak mahu bersikap ‘tangkap muat’ terhadap tawaran yang diberikan.
“Apa yang pasti, saya perlu meneliti terlebih dahulu skrip dan watak sesebuah drama atau filem yang ditawarkan sama ada ia bersesuaian dengan saya atau tidak,” akuinya.
Menyentuh tentang watak yang didambakannya, Zizie memberitahu yang beliau masih menantikan watak-watak berat yang boleh mencabar keupayaan dirinya seperti watak wanita yang menghidap penyakit HIV.
Selain bercerita tentang perkembangan kerjayanya di belakang tabir, majalah Wanita keluaran ini turut memaparkan cerita Zizie bersama suami dalam melayari bahtera kebahagiaan.
Jadi dapatkan majalah Wanita terbaru yang menampilkan Zizie di kulit hadapannya.
No comments: