» » Utusan dedahkan rombakan Kabinet akan dibuat segera untuk selamatkan Najib Razak


Ketika pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sedang berdepan saat genting, akhbar milik Umno hari ini mendedahkan rombakan Kabinet bakal dibuat tidak lama lagi.

Utusan Malaysia dalam edisi mingguannya berkata, Najib kini tidak boleh mengambil mudah apa yang terjadi memandangkan situasi politik kini tidak lagi sama.

Beliau perlu mengambil langkah lebih proaktif menghadapi serangan ke atas pentadbirannya.

"Kali ini, senario politik berubah, Najib tidak boleh ambil mudah.

"Maka beliau perlukan pasukan baharu yang bukan saja dinamik malah komited menyokongnya dalam saat yang sukar dan ketika berdepan krisis," kata penulis ruangan pojok Awang Selamat.

Awang dalam tulisannya berkata, rombakan itu penting bagi membolehkan Najib menangkis isu besar, khususnya yang membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang terpalit dengannya.

"Ia juga mesej jelas kepada semua beliau mahu bangkit daripada dugaan politik yang dihadapi terutama berkaitan isu 1MDB.

"Malah kemungkinan Najib membuat perubahan drastik tidak boleh ditolak. Mana tahu ada kejutan lebih besar, kita tunggu," katanya.

Beberapa nama diberikan Awang yang bakal terkesan daripada rombakan tersebut, antaranya naib presiden Umno dan juga menteri kanan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

"Tidak terlepas menjadi perhatian Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Shafie Apdal yang dijangka bertukar potfolio," katanya.

Shafie sebelum antara yang lantang mempersoalkan isu mengenai 1MDB dan menggesa supaya siasatan dibuat ke atas syarikat sarat hutang itu di mana Najib merupakan pengerusi lembaga penasihatnya.

Selain itu, 2 menteri juga akan bertukar portfolio.

"Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (Datuk Abdul) Rahman Dahlan pula disebut-sebut dilantik menteri komunikasi dan multimedia sementara (Datuk Seri Ahmad) Shabery Cheek akan menerajui kementerian lain," katanya.

Rombakan juga akan melibatkan pemimpin MIC yang berada dalam Kabinet di mana menurut Awang, Najib dijangka membuang bekas presidennya Datuk Seri G Palanivel daripada kerajaannya.

"Jawatan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Palanivel kemungkinan dikosongkan buat sementara sehingga pemilihan semula MIC September depan.

"Jika itu terjadi, seorang menteri lain akan memangku jawatan tersebut," katanya.

Selain itu, Awang juga mendedahkan bakal terdapat muka baharu dalam Kabinet Najib nanti.

"Rombakan kali ini juga dijangka menyaksikan setidak-tidaknya 2 muka baharu untuk jawatan timbalan menteri.

"Awang difahamkan, perubahan akan turut berlaku bagi jawatan tertentu di ibu pejabat Umno," katanya.

Menurut Awang, Najib kali ini tidak boleh lagi menjaga hati dan berhati-hati dalam membuat rombakan kerana masa untuk memberi peluang sudah berakhir.

"Najib kerap dikritik sebelum ini kerana terlalu menjaga hati orang dan berhati-hati dalam melakukan rombakan Kabinet terutama ke atas menteri yang lesu dan tidak proaktif.

"Tetapi itulah pendekatan beliau yang suka memberi peluang menambah baik diri kepada semua ahli Kabinetnya," katanya.

Najib ketika ini berdepan cabaran dan kritikan hebat daripada lawannya selepas terpalit dalam skandal 1MDB menerusi pendedahan panas, malah akhbar The Wall Street Journal baru-baru ini juga mendedahkan skandal sejumlah wang dipindahkan ke akaun peribadi Najib.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .