Rakyat Malaysia mula lupa mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata seorang wartawan veteran, kerana semua orang kini tertumpu pada dakwaan wang AS$700 juta (RM2.67 bilion) yang dikatakan dimasukkan ke dalam akaun bank peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Bekas ketua pengarang akhbar New Straits Times Datuk A Kadir Jasin berkata, tumpuan perlu kembali kepada siasatan yang sedang berjalan terhadap 1MDB kerana ia punca masalah dan dari sana bermulanya jejak wang yang berpuluh bilion itu.
"Dari situlah bermulanya jejak wang (money trail), nawaitu yang songsang, kemungkinan pecah amanah, penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah.
"Malah ada orang kata, penderhakaan kepada negara (treason)," katanya.
Pada 9 Julai, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menerima laporan awal mengenai 1MDB yang disiapkan audit negara.
Laporan itu dibuat susulan satu pasukan petugas khas - dianggotai polis, Bank Negara Malaysia dan Pejabat Peguam Negara memperincikan siasatan terhadap bagaimana wang berkaitan 1MDB disalurkan ke dalam akaun bank peribadi Najib.
Akhbar perniagaan itu berkata, bahagian terbesar daripada wang itu – AS$681 juta – dipindahkan ke akaun Najib pada Mac 2013, menjelang pilihan raya umum pada Mei tahun itu.
WSJ juga mendedahkan di Internet dokumen mengenai aliran wang ke dalam akaun Najib bagi menyokong laporannya.
Pada 9 Julai, laman web pemberi maklumat Sarawak Report berkata RM2 juta dipindahkan ke dalam akaun isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor antara Februari dan April tahun ini.
Kadir memuji Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, yang katanya kelihatan lebih gigih dan berani dalam menyiasat dakwaan tersebut.
Memandangkan pasukan petugas itu terdiri daripada empat agensi, Kadir berkata ini meningkat keyakinan yang siasatan pada peringkat ini akan menjadi lebih bebas dan telus.
"Macam orang putih kata, 'anything can happen' (apa saja boleh berlaku)," tulis Kadir.
Kadir juga memuji Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang membuat keputusan memanggil ahli perniagaan Low Taek Jho, juga dikenali sebagai Jho Low, sebagai sebahagian daripada siasatan ke dalam 1MDB.
"Sekiranya Jho Low enggan bekerjasama, PAC wajib membuat laporan polis terhadap beliau supaya dengan itu PDRM boleh meminta bantuan Polis Antarabangsa, Interpol untuk mengesan beliau.
"Kita mahu tahu pasukan petugas memberi pencerahan kepada kita mengenai peranan Jho Low yang terbukti sangat akrab dengan Najib, keluarganya serta ramai lagi pembesar dan pegawai tinggi Kerajaan Malaysia.
"Apakah keistimewaan 'dealmaker' kelahiran Pulau Pinang ini sehingga beliau begitu bebas dan terlindung?" soalnya.
Laporan sebelum ini mengatakan, Jho Low menjadi dalang dalam beberapa urusniaga 1MDB yang lebih mencurigakan.
sumber
No comments: