Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali menggesa kepimpinan dan ahli Umno mengambil iktibar dan bersikap positif di atas teguran Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung kontroversi 1Malaysian Development Berhad (1MDB) dan beberapa isu negara malam tadi.
Katanya, meskipun teguran timbalan perdana menteri itu sudah lama dibangkitkan Perkasa sebelum ini, ia perlu diberikan perhatian demi kesejahteraan rakyat Malaysia.
"Saya tulis apa yang TPM cakap semalam. Ada lima perkara. Lagipun sudah lama Perkasa timbulkan apa yang dikatakan.
"Saya dah tegur juga sebelum ini, jangan serang Tun Dr Mahathir Mohamad kuat sangat kerana ia tidak menguntungkan Umno," katanya ketika ditemui pemberit56a di Ibu Pejabat Perkasa di Kuala Lumpur hari ini.
Semalam Muhyiddin menggemparkan negara apabila buat pertama kalinya bercakap secara terbuka berhubung isu melanda negara seperti 1MDB dan dakwaan The Wall Street Journal (WSJ) sejumlah RM2.67 bilion dipindahkan ke akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Ibrahim menegaskan, rakyat tidak harus terlalu obses dengan isu 1MDB, mengatakan terdapat banyak isu lain yang perlu diketengahkan, termasuk perkembangan ekonomi dan pendidikan.
"Walaupun isu 1MDB ini penting, kita pun dah bercakap, saya tidak mahu jadi pemimpin yang ulang benda yang sama orang cakap setiap hari. Kini seolah-olah orang obses dengan 1MDB.
"Saya lebih suka, seperti saya, Perkasa.. selain cakap mengenai itu, kita tidak hilang fokus. Fokus kita isu ekonomi dan isu pendidikan," kata Ibrahim.
Kenyataan Muhyiddin pada mesyuarat perwakilan Umno Cheras itu semalam mengundang pelbagai spekulasi dan mendapat reaksi pelbagai pihak terutamanya pimpinan Umno.
Antaranya, ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang menyarankan rakyat tidak terlalu cepat menganggap teguran Muhyiddin itu sebagai isyarat akan berlakunya masalah dalaman parti.
Reezal turut mengingatkan supaya mengambil pandangan yang disuarakan Muhyiddin itu sebagai nasihat, demi kelangsungan parti.
Keterbukaan Muhyiddin itu turut dikecam blog pro Umno MyKMU.net di mana pimpinan kedua tertinggi Umno itu digesa mengundur diri sekiranya tidak bersetuju dengan kepimpinan perdana menteri.
Muhyiddin antara lain membuat kenyataan, Barisan Nasional (BN) akan kalah sekiranya Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dilakukan dalam tempoh terdekat ini.
sumber
No comments: