Pejabat Perdana Menteri (PMO) mengatakan semua pihak lebih-lebih lagi anggota pentadbiran kerajaan termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu menunggu hasil siasatan ke atas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan.
Menurut PMO, seharusnya anggota pentadbiran kerajaan mengelakkan daripada melakukan sesuatu yang boleh mengeruhkan persepsi rakyat terhadap Putrajaya dan Umno.
"Siasatan sedang berjalan dan kita perlu memberi ruang kepada pihak yang terbabit untuk menjalankan tugas mereka.
"Oleh itu, semua pihak lebih-lebih lagi anggota pentadbiran termasuk YAB Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hendaklah menunggu hasil siasatan tersebut,"kata PMO dalam satu kenyataan petang ini.
"Insya Allah, jika kita tenang dan terus bersatu padu, kita akan dapat menangani cabaran ini dan mempertahankan sokongan rakyat kepada kerajaan dan parti".
Semalam Muhyiddin yang juga timbalan perdana menteri berkata, laporan The Wall Street Journal (WSJ) RM2.67 bilion dipindahkan dari firma pelaburan negara itu ke dalam akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak adalah satu perkara yang serius dan memerlukan penjelasan.
"Apabila berita yang pertama keluar, saya menghantar SMS (khidmat pesanan ringkas) kepada Perdana Menteri yang mengatakan: "Tuan, ini adalah sesuatu perkara yang serius anda perlu menafikannya". Beliau menjawab, terima kasih dan memberitahu saya beliau sudah berbuat demikian.
"Walaupun ada penafian, ia adalah dari Jabatan Perdana Menteri. Saya memberitahunya lagi bahawa beliau perlu menafikannya sendiri kerana dakwaan itu dibuat terhadapnya dan beliau perlu menafikan," katanya ketika merasmikan mesyuarat Umno Cheras di Kuala Lumpur malam tadi.
Dalam kenyataan petang ini, PMO mengulangi kenyataan terdapat usaha dan "konspirasi" untuk menggulingkan Datuk Seri Najib Razak.
"Satu pasukan petugas khas juga sudah ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan oleh sebuah media asing bahawa dana 1MDB dimasukkan ke dalam akaun perdana menteri.
"Serta pendedahan bekas eksekutif kanan PetroSaudi International Ltd, Xavier Andre Justo, bahawa beliau menjual dokumen yang dicurinya kepada pihak tertentu yang dipercayai berkomplot untuk menggulingkan kepimpinan negara dan kerajaan," kata PMO.
PMO turut menyelar Tun Dr Mahathir Mohamad yang terus menerus menyerang Najib.
"Tindakan mantan perdana menteri, Dr Mahathir yang terus membuat pelbagai tuduhan yang tidak berasas termasuk kehilangan RM42 billion kepunyaan 1MDB walaupun penjelasan sudah dibuat kerajaan turut menyumbang kepada terhakisnya kepercayaan terhadap kerajaan dan parti."
sumber
No comments: