» » 'Siasatan ke atas skandal 1MDB boleh diteruskan dan tiada sebab ditangguhkan'


Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) masih boleh berfungsi dengan Dr Tan Seng Giaw sebagai naib pengerusinya, walaupun ia tidak mempunyai seorang pengerusi buat masa ini, kata DAP hari ini.

Ketua Parlimen parti Lim Kit Siang berkata, ini kerana ahli Parlimen DAP itu dilantik oleh Parlimen dan mempunyai anggota kerja mencukupi untuk meneruskan siasatan ke atas syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau menegaskan, mengikut Peraturan Mesyuarat Parlimen, PAC ketika ini mempunyai keahlian yang cukup bagi meneruskan siasatannya terhadap 1MDB, walaupun kehilangan Datuk Nur Jazlan Mohamed sebagai pengerusinya serta 3 anggota lain yang terdiri daripada ahli Parlimen Umno.

"Tiada sebab kenapa PAC perlu menangguhkan siasatannya atas 1MDB kerana ada 9 lagi anggota PAC, dengan Dr Tan sebagai naib pengerusi mengambil alih daripada Nur Jazlan sebagai pemangku pengerusi, bersama 4 lagi ahli Parlimen Umno/Barisan Nasional (BN), 2 darpadai PKR, dan seorang masing-masing daripada DAP dan PAS," kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Lim berkata sebarang percubaan untuk menghentikan siasatan PAC ke atas 1MDB hanya akan membuktikan objektif rombakan Kabinet semalam ialah menghalang dan mensabotaj siasatan terhadap skandal kewangan terbesar negara itu.

Beliau juga melahirkan rasa terkejut Nur Jazlan menerima pelantikan sebagai timbalan menteri dalam negeri, mendakwa ahli Parlimen Umno itu pernah mengatakan beliau lebih berminat menyelesaikan siasatan ke atas 1MDB apabila kedengaran cakap-cakap yang beliau akan dilantik menganggotai Kabinet.

Tiga ahli PAC lain - Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Datuk Mas Ermieyati Samsudin - dilantik sebagai timbalan menteri, sementara Datuk Wilfred Madius Tangau dilantik menteri sains, teknologi dan inovasi dalam rombakan Kabinet oleh perdana menteri semalam.

Lim berkata, Nur Jazlan silap dan bersalah atas sebab konflik kepentingan apabila beliau berkata semalam siasatan PAC ke atas 1MDB kini ditangguhkan sehingga mesyuarat Parlimen akan datang pada Oktober.

Soalnya, mengapa ini berlaku ketika bekas eksekutif dan eksekutif 1MDB sekarang, termasuk Arul Kanda Kandasamy, Datuk Shahrol Ibrahim Halmi, Mohd Hazeem Abdul Rahman dan ahli perniagaan Low Taek Jho dijadualkan memberi keterangan di hadapan jawatankuasa Parlimen itu bulan depan.

"Sebagai pengerusi PAC, Nur Jazlan menghargai sepenuhnya doktrin pengasingan kuasa antara eksekutif, perundangan dan kehakiman dan kepentingan memastikan tiada gangguan atau pencerobohan oleh mana-mana pihak.

"Mengapa selepas dilantik timbalan menteri dalam negeri, langkah pertama beliau ialah memperkecilkan perbezaan penting antara eksekutif dan badan perundangan itu dengan secara unilateral dan sewenang-wenangnya mengumumkan pendengaran PAC dalam kes 1MDB ditangguhkan?" Lim bertanya.

Beliau berkata PAC melakukan kesalahan serius jika tidak meneruskan siasatan terhadap 1MDB bagi menegakkan prinsip-prinsip akauntabiliti, ketelusan, integriti dan tadbir urus yang baik sebagai asas kepada demokrasi berparlimen Malaysia.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .