» » 'Jangan ganggu siasatan pasukan petugas khas skandal 1MDB'


Siasatan pasukan petugas khas terhadap syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) perlu berjalan bebas tanpa sebarang gangguan atau tekanan daripada mana-mana pihak ketiga, kata 5 panel pengawasan bebas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

Dalam satu kenyataan, panel itu berkata ahli pasukan itu, termasuk Jabatan Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia, Bank Negara Malaysia dan SPRM harus dibenarkan untuk menjalankan siasatan tanpa rasa takut atau pilih kasih.

"Lima panel bebas yang memantau perjalanan SPRM mahu siasatan berhubung isu 1MDB dijalankan dengan bebas, telus dan profesional serta berkesan tanpa sebarang campur tangan daripada mana-mana pihak ketiga atau dikenakan apa-apa bentuk tekanan ke atas agensi penyiasat yang menganggotai pasukan petugas khas.

"Dalam hal ini, kami dengan tegas menggesa integriti SPRM sebagai sebuah suruhanjaya pencegahan rasuah yang bebas, perlu dipertahankan dan tidak wajar dikompromi sama sekali.

"SPRM perlu dilihat sebagai sebuah suruhanjaya yang bebas dalam merancang dan menjalankan semua tanggungjawab yang diamanahkan sebagaimana yang diharapkan rakyat," kata mereka.

Spekulasi hangat diperkatakan yang penyingkiran mendadak Tan Sri Abdul Gani Patail sebagai peguam negara semalam dibuat supaya Datuk Seri Najib Razak, yang disiasat berhubung skandal 1MDB, boleh terus kekal sebagai perdana menteri.

Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Mohamed Apandi Ali dinamakan peguam negara baharu menggantikan Gani.

Lima panel itu hari ini menggesa peguam negara yang baharu memberi "kemas kini yang jelas" berhubung perkembangan terkini dalam siasatan itu bagi mengelakkan persepsi negatif orang ramai terhadap agensi dalam pasukan petugas tersebut.

"Tindakan ini penting memandangkan SPRM hanya memberi tumpuan ke atas kes berkaitan SRC International, yang sebelum ini subsidiari 1MDB, manakala isu 1MDB disiasat agensi penyiasat yang lain," kata panel itu.

Mereka juga menggesa Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mendedahkan kepada umum laporan interim ketua audit negara mengenai 1MDB, kerana wujud kebimbangan orang ramai dalam kes itu.

"Penting bagi PAC mengumumkan hasil penemuan semua siasatan termasuk laporan Jabatan Audit Negara mengenai isu 1MDB kepada umum secepat yang mungkin.

"Ini bagi mengembalikan semula pandangan keseriusan dalam menyiasat isu IMDB sekian lama, terutamanya, memandangkan imej negara sudah tercemar dan juga keyakinan rakyat ke atas keberkesanan usaha SPRM sudah mula dipersoalkan," kata mereka.

Laporan awal audit negara mengenai 1MDB itu dikemukakan kepada PAC pada 9 Julai sambil jawatankuasa Parlimen itu sedang turut menjalankan siasatannya sendiri ke atas dana pelaburan negara itu.

Banyak pihak, termasuk ketua pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, menggesa Putrajaya tidak mengklasifikasikan laporan itu sebagai sulit susulan terdapat dakwaan yang bercanggah mengenai kandungannya.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Ronald Kiandee bagaimanapun berkata, Peraturan Mesyuarat tidak membenarkan laporan itu diumumkan kepada orang ramai sehingga ia dibentangkan di Parlimen terlebih dulu.

Pengerusi 5 panel itu ialah Tan Sri Abu Zahar Ujang (Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah), Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim (Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah), Tan Sri Hamid Bugo (Panel Penilaian Operasi), Tan Sri Wilson Baya Dandot (Jawatankuasa Aduan) dan Tan Sri Johan Jaaffar (Panel Perundingan Dan Pencegahan Rasuah).

Mereka juga memberi jaminan SPRM akan lebih mudah dan cepat menjalankan siasatan dengan bebas, telus dan profesional jika tidak wujud sebarang tekanan dan campur tangan mana-mana pihak.

Mereka juga berkata, pihak yang didapati bertanggungjawab melakukan sebarang kesalahan akan dibawa ke muka pengadilan.

"Pada akhir siasatan, jika terkesan sebarang bentuk kesalahan di bawah lunas perundangan, maka agensi-agensi terbabit perlu mengambil tindakan sewajarnya mengikut kuasa masing-masing, termasuk SPRM di bawah Akta SPRM 2009.

"Mengambil kira perkembangan semasa dalam negara, kelima-lima panel bebas yang mewakili suara rakyat ingin menegaskan perlu ada satu penyelesaian kepada isu ini secepat mungkin," kata mereka.

Pasukan petugas khas itu ditubuhkan bagi menyiasat 1MDB dan dakwaan yang berbilion ringgit dipindahkan daripada syarikat berkaitan dana pelaburan negara itu ke dalam akaun peribadi Najib.

The Wall Street Journal dan laman web pemberi maklumat Sarawak Report melaporkan awal bulan ini, sejumlah hampir AS$700 juta (RM2.67 bilion) didakwa dipindahkan dari dana milik negara ke dalam dua akaun bank di bawah nama Najib di AmBank pada awal 2013.

Perdana menteri menafikan pernah mengambil dana daripada 1MDB untuk "kepentingan peribadi" tetapi tidak mengulas secara langsung mengenai pemindahan dana tersebut.

Akaun beliau yang didakwa menerima dana itu kini ditutup.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .