» » Selesaikan persoalan dalam skandal 1MDB segera sebelum ia jadi beban kepada UMNO


Timbalan Perdana Menteri Tan SriMuhyiddin Yassin menggesa kerajaan mengambil langkah segera untuk menyelesaikan permasalahan negara terutama isu skandal 1MDB. 

Jika tidak, isu itu akan menjadi beban kepada UMNO sebagai parti yang mendukung kerajaan, kata beliau.

Beliau berkata, jika isu itu berlarutan ia akan terus menjejas keyakinan anggota parti dan rakyat terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) sekaligus berupaya menjejaskan peluang kerajaan untuk mendapat majoriti mudah dalam pilihan raya (umum) akan datang.

"Mesti ada penyelesaian muktamad...kalau tak selesai jadi beban...nak selesai pun jadi beban kerana dengan keadaan ringgit kita sekarang sudah jadi berapa bilion? Kita bercakap tentang kes ribuan juta amaun," katanya.

Berucap menutup mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Cheras di sini Ahad malam ,Muhyiddin mengulangi pendiriannya bahawa penjelasan jitu perlu diberikan bagi mengelakkan rakyat dari terus tertanya-tanya.

Muhyiddin berkata isu 1MDB juga memberikan persepsi negatif kepada pelabur luar yang seterusnya boleh menjejaskan ekonomi negara.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata pasukan petugas khas yang ditubuh untuk menyiasat kes 1MDB tidak perlu diganggu supaya proses penyiasatan boleh dipercepatkan.

"Sekarang pun dah ada reman, ada tindakan...saya harap diteruskan kerana lebih cepat lebih baik untuk parti dan kerajaan," katanya.

Muhyiddin juga mencadangkan agar laporan interim 1MDB dijadikan dokumen awam agar masyarakat tahu apa yang sebenarnya berlaku dalam kes berkenaan.

"Kalau nak jadikan 'public document' pun tiada halangan.

"Elok juga rakyat tau apa kedudukan sebenar. Kita tak mau ia diputar belit.

"Sebagai pemimpin kita mesti memikul amanah. Kita diamanah urus negara dan tadbir segala harta kekayaan, rakyat mahu tahu bagaimana harta kita (tadbir) untuk mereka," katanya.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO menegaskan telah tiba masanya kerajaan dan parti menguruskan isu persepsi yang cukup menebal di kalangan
rakyat.

Katanya, pelbagai sentimen rakyat Malaysia terutama yang diluah di media sosial perlu diteliti kerana ia telah menjadi sentimen yang nyata.

"Dalam media sosial rakyat mengeluh soal GST, soal kerajaan katanya rasuah.

"Ia mungkin benar, maka perlu diteliti mengapa jadi begitu.

"Kita tidak mahu ada sindrom bisu, sindrom penafian...kita tolak semua, kita rasa semua tak betul kerana kita telah terlalu lama berkuasa," katanya.

Justeru, katanya kerajaan dan parti perlu kembali ke pangkal jalan, turun padang mencari masalah dan penyelesaian terhadap isu dan masalah rakyat.

Ini, katanya, bagi memastikan keyakinan dan kepercayaan rakyat dapat dikembalikan dan mereka merasa hanya BN parti harapan negara.

Menjawab mengenai pertemuan beliau dengan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang dikatakan sebagai 'perbincangan sulit mengenai isu negara',

Muhyiddin berkata ia hanya merupakan pertemuan biasa.

"Tiada yang sulit...saya berkomunikasi dengan Tun, (kemudian) saya jelaskan kepada Kabinet kerana tak mahu ada salah faham.

"Dia (Dr Mahathir) bimbang dengan kedudukan Najib sebab dia sayang Najib...pasal mengenang sejarah Tun (Abdul) Razak (Hussein).

"Jadi nak sokong Najib bila timbul isu berkaitan dengan Najib.

"Dia hanya beri pandangan dan saya tak fikir ia melampau," katanya.



About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .