Polis menyerbu pejabat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kuala Lumpur sejak pukul 11.30 pagi tadi, lapor portal The Star Online hari ini.
Tinjauan mendapati polis masih berada di pejabat syarikat pelaburan negara itu di Menara IMC, di Jalan Sultan Ismail.
Polis juga mengarahkan penyambut tetamu tidak membenarkan mana-mana individu naik ke atas pejabat 1MDB di tingkat 8 itu.
Pengawal keselamatan juga menghalang wartawan mengambil sebarang video rakaman di premis Menara IMC.
"Penghantar barang juga tidak dibenarkan masuk kerana mereka tidak mahu diganggu," kata penyambut tetamu dipetik The Star.
Tiga buah kereta dan 2 buah van polis juga dilihat berada di perkarangan luar bangunan tersebut.
Pasukan petugas khas dianggotai Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohamed, bertanggungjawab menyiasat kes 1MDB tersebut.
Pasukan itu semalam mengumumkan pembekuan 6 akaun bank serta merampas dokumen berkaitan 17 akaun daripada 2 bank bagi membantu siasatan.
Akhbar perniagaan antarabangsa The Wall Street Journal (WSJ) minggu lepas mendedahkan dokumen siasatan yang menunjukkan hampir AS$700 juta (RM2.7 bilion) disalurkan ke akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Serbuan turut dibuat ke atas 3 syarikat berkaitan 1MDB yang didakwa digunakan untuk menyalurkan dana, iaitu SRC International Sdn Bhd, Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Ihsan Perdana Sdn Bhd serta dokumen turut diambil.
sumber
No comments: