PKR akan memfailkan saman sivil bagi membatalkan keputusan Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13), susulan pendedahan The Wall Street Journal (WSJ) dan Sarawak Report mengenai pemindahan berbilion ringgit ke akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak, kata Nurul Izzah Anwar.
Naib presiden PKR itu berkata, mereka akan memfailkan saman tersebut dengan kadar segera dan akan menyerahkan laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kerana perdana menteri didakwa menggunakan wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk memenangi PRU13.
"Lanjutan daripada aduan yang dikemukakan, wajib diingat bahawa jumlah maksimum yang boleh dibelanjakan untuk kempen pilihan raya bagi setiap calon ialah RM200,000 (Parlimen) dan RM100,000 (Dewan Undangan Negeri) sepertimana yang diperincikan di bawah Seksyen 19, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
"Oleh yang demikian, sepatutnya jumlah maksima yang dibelanjakan untuk kesemua calon Umno dan Barisan Nasional (BN) bagi 222 kerusi parlimen dan 505 kerusi DUN berjumlah RM44.4 juta dan RM50.5 juta masing-masing.
"Ini menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM94.9 juta, jauh lebih rendah daripada jumlah yang didakwa digunakan oleh BN iaitu RM2.67 billion," katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini.
Katanya, Bersih 2.0, Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) dan Transparency International sudah mengemukakan 4 aduan kepada SPRM berhubung perkara tersebut yang didakwa mengandungi elemen rasuah dalam penyaluran dana pada PRU13.
"Jumlah wang RM2.67 bilion yang diumumkan asalnya sebanyak AS$700 juta dan didakwa berada dalam akaun peribadi perdana menteri adalah 26 kali lebih daripada had perbelanjaan yang dibenarkan.
"Tambahan pula, siapa yang boleh memastikan ini merupakan sumber tunggal kewangan untuk perbelanjaan pilihan raya Umno dan Barisan Nasional pada pilihan raya umum yang lepas?" soalnya.
Ahli Parlimen Lambah Pantai itu turut berkata, tindakan mahkamah akan menjadi pemangkin kepada pembatalan kerusi-kerusi hang dimenangi Umno dan BN ekoran pendedahan amalan korup dan pembaziran wang yang melampau.
Katanya, antara aduan-aduan yang lain merupakan yang berkait dengan pembelian stesen janakuasa yang sebelum ini dimiliki Genting pada harga tinggi dan tidak munasabah dan wang yang disalurkan kepada Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M) .
sumber
No comments: