» » Penyingkiran Gani Patail ketika siasatan skandal 1MDB memuncak kukuhkan teori konspirasi Najib Razak


Penyingkiran secara tiba-tiba Tan Sri Abdul Gani Patail sebagai Peguam Negara hanya akan mengukuhkan lagi "teori konspirasi" yang perdana menteri, yang disiasat berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), berkeras mahu mengekalkan kedudukannya menerajui pentadbiran negara, kata sebuah badan pemikir.

Menegaskan yang penyingkiran Gani tidak boleh diterima, terutamanya kerana beliau sebahagian daripada pasukan petugas khas kerajaan yang sedang menyiasat operasi 1MDB, ketua Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) Wan Saiful Wan Jan berkata, langkah itu akan menimbulkan banyak persoalan mengenai niat di sebalik "pemecatan" Gani.

"Perkhidmatan Gani memang pun sepatutnya berakhir pada Oktober, jadi tidak ada sebab untuk lakukan pemecatan awal ini.

"Rakyat sudah bercakap tentang kemungkinan satu konspirasi terdesak oleh perdana menteri untuk terus kekal berkuasa.

"Tindakan ini malangnya menguatkan lagi teori konspirasi itu dan seterusnya melemahkan kuasa moral jika Datuk Seri Najib Razak terus berpegang pada jawatannya," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, menyingkirkan Gani tidak akan menyelesaikan apa-apa, sebaliknya mengundang lebih banyak persoalan.

"Saya sekarang risau kalau anggota pasukan petugas khas siasatan 1MDB yang lain akan menerima tekanan dari atas. Dan adakah anggota Kabinet yang sering mengkritik akan turut dipecat?"

Beliau mengakui mungkin terdapat konflik kepentingan dalam peranan peguam negara dan pendakwaraya, tetapi menekankan yang ia perlu diselesaikan dengan melakukan pembaharuan ke atas sistem, bukan dengan memecat peguam negara.

Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Mohamed Apandi Ali dinamakan Peguam Negara baru hari ini menggantikan Gani yang dilaporkan menghidap penyakit buah pinggang, menurut agensi berita nasional Bernama, memetik Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .