Spekulasi rombakan kabinet dan penyingkiran Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri semakin bertiup kencang.
Malah spekulasi ini mendapat perhatian meluas dan terpampang sebagai berita utama seluruh portal-portal berita arus alternatif dan perdana.
Spekulasi yang timbul ini berpunca daripada kritikan terbuka Muhyiddin terhadap Datuk Seri Najib Razak yang masih gagal menangani isu 1MDB secara berkesan sehingga menggugat kepercayaan rakyat pelbagai lapisan.
Krisis 1MDB bukan sahaja mengundang kritikan Tun Dr Mahathir Mohamad, malah beliau kini bergandingan dengan Muhyiddin mendesak isu berkenaan diperjelaskan.
Maka kritikan Muhyiddin tersebut dilihat semakin berbahaya sehingga mendesak Pejabat Perdana Menteri semalam mengeluarkan kenyataan media memohon masyarakat khususnya Muhyiddin menunggusiasatan lengkap diselesaikan.
Kenyataan media Pejabat Perdana Menteri yang secara khusus menyebut nama Muhyiddin memperlihatkan kedudukan dan masa depan politiknya dalam kerajaan semakin tidak menentu.
Muhyiddin dijangka memobilisasi usaha dan sokongan untuk mendesak Najib berundur sebelum spekulasi menyingkirkannya benar-benar terjadi.
Sekiranya Muhyiddin terlewat bertindak, maka nasib beliau seakan-akan sama seperti mantan-mantan Timbalan Perdana Menteri iaitu Ghafar Baba, Musa Hitam dan Anwar yang akhirnya semakin dilupakan.
Dengan sokongan dan kritikan lantang Tun Mahathir yang semakin berterusan, maka Muhyiddin mampu mengulangi sekali lagi kejayaannya mendesak Tun Abdullah Ahmad Badawi meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.
Bila waktu yang sesuai untuk Muhyiddin? jawapannya ialah sebelum berlangsungnya Mesyuarat Majlis Tertinggi dan perjumpaan Najib bersama ketua-ketua bahagian UMNO pada hari jumaat akan datang iaitu 31 Julai 2015.
Sekiranya Muhyiddin lewat bertindak, maka pada hari berkenaan beliau mungkin terpaksa melupakan hasrat dan impian untuk menjadi wira negara dan menduduki jawatan nombor satu di Malaysia.
No comments: