» » Pengarah Bahagian Kejururawatan hadapi dua pertuduhan salahgunakan kuasa


Pengarah Bahagian Kejururawatan Kementerian Kesihatan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menyalahgunakan kuasa dengan memberi dua projek di bawah jabatannya berjumlah RM14,300 kepada syarikat milik anaknya sendiri.

S. Tselvin, 58, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan tersebut dibacakan oleh jurubahasa kepadanya di hadapan Hakim Mohd. Nasir Nordin.

Wanita itu didakwa menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan apabila memilih syarikat Fort Mark Sdn. Bhd. milik anaknya, R. Pravin bagi kerja-kerja penambahbaikan Portal Nursing di Bahagian Kejururawatan Kementerian Kesihatan, Putrajaya antara 13 dan 15 Oktober tahun lalu.

Projek tersebut didakwa bernilai RM12,300 dan ketika kejadian, anaknya masih belum lagi menubuhkan syarikat berasaskan teknologi maklumat (IT) itu.

Tselvin yang juga merupakan Pengerusi Kelab Lembaga Jururawat itu turut didakwa melakukan perbuatan sama pada 7 Mei lalu menerusi projek penyediaan montaj untuk sambutan Hari Jururawat Antarabangsa 2015 yang bernilai RM2,000.

Timbalan Pendakwa Raya, Lokman Kasim mengemukakan kedua-dua pertuduhan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dibaca bersama Seksyen 24 akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Pihak pendakwaan mencadangkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan mahkamah bersetuju dengan jumlah tersebut selepas tiada bantahan diterima daripada pihak tertuduh yang diwakili peguam S. Devanandan.

Mohd. Nasir kemudian menetapkan 28 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Pada 18 Jun lalu, Utusan Malaysia melaporkan penahanan seorang pegawai kanan Kementerian Kesihatan selepas pihak SPRM menerima aduan suspek memaksa kakitangan kementerian itu untuk menyerahkan tiga projek melibatkan pembangunan Teknologi Informasi dan Komunikasi (ICT) kepada syarikat anaknya walaupun tidak mempunyai kredibiliti menjalankan projek terbabit.


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .