Empat bulan sejak cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dilaksanakan, pengendali warung makanan seperti pemilik gerai nasi ekonomi, S Renuga tersepit di antara kedua-dua bahagian – satu bahagian, pelanggan yang berjimat cermat dan satu lagi, pembekal menaikkan harga.
Renuga dan 15 lagi pemilik gerai memberitahu The Malaysian Insider bagaimana mereka melihat peningkatan kos operasi dan keuntungan merosot apabila terpaksa menyerap 6% GST untuk bahan mentah.
Hanya 2 daripada 16 pemilik gerai itu membuat keputusan tidak menaikkan harga walaupun kos meningkat, supaya pelanggan tidak lari, yang kebanyakannya adalah pekerja berpendapatan pertengahan.
Pengendali gerai makanan agak istimewa apabila melihat kesan GST kepada perniagaan itu kerana kebanyakan bahan mentah mereka dikecualikan daripada GST.
Tidak seperti peniaga lain, mereka tidak terkesan secara menyeluruh daripada kenaikan 6% itu bagi kos menjalankan perniagaan, jadi andaiannya ialah mereka tidak sepatutnya mengenakan GST kepada pengguna, kecuali mereka memperoleh pendapatan tahunan RM500,000.
Malah, video tajaan kerajaan mengenai GST menyatakan pengguna tidak akan dikenakan cukai penggunaan jika mereka makan di tempat tertentu, seperti restoran mamak.
Tetapi, hakikatnya lebih rumit. Tidak semua makanan atau bahan mentah dikecualikan daripada GST. Sos, makanan proses dan dalam tin, jus, kordial, ais, elektrik dan keperluan pembungkusan untuk menyedia dan menghidangkan makanan dikenakan GST daripada pembekal.
Tidak seperti pembekal, pengendali gerai makanan kecil tidak mempunyai pendapatan tahunan RM500,000, jadi mereka tidak boleh mengenakan lebihan 6% kepada pelanggan.
“Kami tidak boleh naikkan harga kerana jika berbuat demikian, nanti pelanggan lari kerana mereka pun berjimat juga,” kata Renuga, 34, yang mengendalikan gerainya bersama suami, Ramesh, 35, di Klang.
Pendapatan mereka semakin kecil kerana GST mencabar dasar utama Putrajaya, yang mahu menggalakkan keusahawanan kecil, seperti menjual makanan, sebagai cara golongan miskin menjana pendapatan lebih baik.
Kerana jika GST menyebabkan pendapatan lebih rendah bagi mereka yang menjual makanan jalanan seperti burger Ramly, nasi lemak dan pisang goreng, mengapa perlunya menyertai perniagaan itu?
Jualan dan keuntungan
Daripada 16 peniaga yang ditemu bual baru-baru ini, hanya 2 berkata tidak ada perbezaan ketara dalam bentuk jualan atau keuntungan selepas GST.
Semua yang lain mendapati keuntungan berkurangan sejak April. Enam pengendali berkata mereka mengalami kemerosotan keuntungan sehingga 10%.
Enam yang lain berkata mereka bimbang keuntungan jatuh hingga 25%, sementara 2 lagi memberitahu keuntungan jatuh antara 11% hingga 25%.
Sembilan daripada mereka berkata dapat mengekalkan jumlah jualan yang sama walaupun keuntungan berkurangan sedikit. Enam melaporkan jualan jatuh kerana pelanggan mereka kurang makan di luar.
“Sebelum GST, ada pelanggan saya datang ke gerai 5 kali seminggu. Sekarang mereka datang 2 kali seminggu,” kata Low Wai Hun, 38, yang mengendalikan gerai makanan Cina fusion di Petaling Jaya.
Low berkata keuntungannya jatuh lebih 25% sejak April kerana penurunan jualan dan peningkatan harga bahan mentah kerana kebanyakan bahannya dikenakan GST.
Ini suasana biasa bagi pengendali gerai; lebih banyak makanan proses dalam menu mereka, lebih tinggi kos dan keuntungan berkurangan.
Pemilik gerai burger Morliza Meli, 39, dari Subang Jaya menaikkan harga jualannya kerana kos semakin tinggi bagi daging burger, hot dog, mayones, sos dan kertas pembalut.
“Jika sebelum ini burger RM2.80, sekarang RM3. Lebihan 20 sen itu untuk membayar lebihan kos daripada GST,” katanya yang tidak boleh mengenakan GST kepada pelanggan.
Dua peniaga berkata mereka tidak begitu terasa kesan GST terhadap jualan atau keuntungan – seorang peniaga kerepek/muruku dan seorang lagi pemilik restoran tom yam yang mempunyai lebih 25 meja dan 6 pekerja.
Mereka yang paling teruk terjejas adalah golongan pertengahan, hampir semua ialah pengendali gerai makanan di medan makan dengan sama ada seorang atau 2 pekerja.
“Pekerja saya pun minta naik gaji kerana mereka tidak dapat menampung kos sara hidup yang meningkat kerana GST. Jadi, selain bahan segar, kos buruh saya juga meningkat,” kata Thangavelu Ponnen, 64, yang berniaga nasi campur di Petaling Jaya.
Hanya survival
Rintihan peniaga gerai makan membangkitkan cabaran besar dalam pelaksanaan GST Putrajaya yang bermula April lalu – harga bahan mentah sebagai ramuan seiring dengan rantaian bekalan.
Garis panduan harga GST yang dikeluarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menyatakan hampir semua makanan mentah tidak dikenakan cukai.
Tetapi pembekal, seperti didakwa beberapa peniaga, menggunakan cara lain untuk menaikkan harga tanpa mengenakan cukai secara langsung.
“Tiga bulan lalu saya beli kerang pada harga RM3 sekilo, sekarang RM5,” kata peniaga laksa Lee Seng Hin, 70, di Petaling Jaya, dan menambah dia tahu kerang tidak dikenakan cukai.
“Mereka beri pelbagai alasan seperti pencemaran sungai jadi kerang mati dan berlaku kekurangan bekalan,” katanya.
Thangavelu berkata pembekalnya juga menaikkan harga ayam walaupun bahan ternakan tidak dikenakan cukai.
“Dia kata ayam tidak ada GST, tapi makanan untuk bela ayam kena GST. Jadi harga ayam pun kena naik,” katanya.
Peniaga nasi ayam Atan Samsuri percaya trend kenaikan harga akan jadi lebih teruk apabila kerajaan terus memotong subsidi minyak.
Pada 1 Julai, harga RON95 dan RON97 naik 10 sen per liter, tetapi diesel kekal harga lama.
“Sekarang barang naik daripada 80 sen kepada RM1,” kata peniaga berusia 35 tahun itu yang mengambil alih gerai daripada bapanya.
Ketika kos meningkat dan jualan menurun kerana pelanggan mula berjimat dan enggan makan di luar, Atan bimbang masa depan perniagaannya.
“Bapa saya boleh cari pendapatan, beli harta dan besarkan anak hasil gerai ini. Tetapi bagi saya dan isteri, ia hanya kelangsungan hidup dan cukup-cukup saja,” katanya.
Renuga dari Klang berkata dalam keadaan sekarang agak sukar baginya untuk meluaskan perniagaan untuk memberi perkhidmatan lebih baik kepada pelanggan.
“Saya hendak dapatkan pekerja tambahan supaya saya dapat layan pelanggan dengan lebih baik. Tetapi memandangkan GST mengambil terlalu banyak bahagian daripada keuntungan saya, saya tidak cukup duit untuk ambil pekerja baharu,” katanya.
Tanpa bantuan tambahan, Renuga berdepan risiko kehilangan pelanggan terutama yang tidak mahu menunggu lama kerana mereka hanya ada sejam untuk makan tengah hari.
Dan jika dia kehilangan pelanggan setia atau bakal pelanggan, dia akan hilang peluang untuk memperoleh pendapatan tambahan untuknya dan keluarga.
sumber
No comments: