» » 'Muhyiddin Yassin tidak akan ditangkap'


Bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak akan ditangkap sebaliknya tindakan akan dikenakan terhadap pihak yang menyebarkan khabar angin sedemikian, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dipetik laporan akhbar The Star hari ini.

Zahid yang juga timbalan perdana menteri menggantikan Muhyiddin berkata, khabar angin itu disifatkannya sebagai "tidak masuk akal langsung" kerana tiada sebab untuk menahan timbalan presiden Umno itu.

"Khabar angin ini sama sekali mengarut. Saya sudah hubungi peguam negara dan ketua polis negara untuk mengesahkan dakwaan dan jawapan mereka adalah negatif.

"Saya kemudian menghubungi Tan Sri (Muhyiddin) secara peribadi pada 2 pagi (semalam) memberi jaminan kepada beliau dan isterinya yang polis tidak akan datang cari mereka," katanya dipetik laporan akhbar harian berbahasa Inggeris itu.

Zahid memberi amaran pihak berkuasa tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap mereka menyebarkan khabar angin dan penipuan "berniat jahat" yang boleh mencetuskan kemarahan dan tidak senang di kalangan penyokong Muhyiddin.

"Saya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap pihak yang menyebarkan khabar angin. Khabar angin ini berniat jahat," katanya.

The Star berkata, khabar angin Muhyiddin akan ditahan bermula sejak Rabu, sehari selepas beliau disingkirkan daripada Kabinet dan satu video menunjukkan Muhyiddin mengatakan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak mengaku RM2.6 bilion dimasukkan ke akaun peribadinya.

Muhyiddin dalam video itu memaklumkan tetamu di kediamannya pada malam Selasa beliau mendesak Najib mengesahkan laporan Wall Street Journal (WSJ) yang mendakwa wang 1MDB dimasukkan ke akaun bank peribadinya.

Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Mahathir juga dilihat duduk sebelah Muhyiddin dalam video itu.

Mengulas mengenainya, Zahid berkata video itu diambil dalam rumah Muhyiddin dan perbualan antara rakan tidak sepatutnya dimuat naik ke Internet.

"Ini kata-kata orang yang kecewa dan marah. Apabila seseorang itu marah dia akan cakap macam-macam.

"Saya tahu perasaannya kerana saya juga pernah melalui sedemikian dan dipaksa meletakkan jawatan (sebagai ketua Pemuda Umno) dan kemudian ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)," katanya.

Zahid bagaimanapun tidak menjelaskan secara lanjut jika benar dakwaan yang dibuat Muhyiddin dalam video itu.

Najib pada Selasa lalu memecat Muhyiddin daripada senarai Kabinet selepas beberapa kali mengkritik presiden Umno itu mengendalikan isu 1MDB yang sarat dengan bebanan hutang.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .