» » Malaysia menuju ke arah negara Kleptokratik ?


Untuk yang tidak memahami maksud kleptokrasi , ia bermaksud sesebuah negara atau organisasi itu diperintah/diuruskan/ditadbir  oleh penjahat yang merupakan penyamun dan perompak .

Semakin ramai warga Malaysia berpendapat negara kita ini mengarah kleptokrasi.

Baru-baru ini, The Wall Street Journal (WSJ) yang beribu pejabat di New York, mendakwa menerima dokumen yang membuktikan beratus-ratus juta dolar dipindahkan ke dalam akaun peribadi bank Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak daripada satu dana negara.

Pendedahan ini membangkitkan persoalan sama ada wujud atau tidak apa yang digelar negara kleptokratis di Malaysia.

Apabila sebuah negara kapitalis dihinggapi masalah rasuah sehingga rasuah menjadi alat pengumpulan modal yang utama, ini mengisyaratkan kemunculan negara kleptokratis. 

Ini membawa kita kepada gagasan negara itu tidak semestinya menjadi sesuatu yang sah dan mendatangkan manfaat.

Rasuah ditakrif sebagai pencurian melalui penipuan terhadap badan pemerintah, syarikat swasta ataupun orang awam dan terdiri daripada 3 komponen, iaitu, penyuapan, pemerasan dan nepotisme. 

Ada suatu benang yang menghubungkan 3 jenis rasuah, iaitu penempatan kepentingan masyarakat umum di bawah kepentingan peribadi serta pengkhianatan kepercayaan.

Menurut Syed Hussein Alatas, suatu ciri rasuah yang penting bagi kita adalah dwifungsi pada mereka yang terlibat dalam kegiatan rasuah. 

Umpamanya, ketika seorang pegawai disuap oleh pihak yang menawarkan pemberian supaya mengeluarkan lesen perniagaan, perbuatan mengeluarkan lesen itu merupakan fungsi baik dari segi jawatannya mahupun kepentingan peribadinya.

Rasuah itu terdapat di semua negara tetapi bukan semua negara yang dikuasai oleh daya rasuah. 

Jenis negara yang dikuasai oleh rasuah dapat digelar sebagai kleptokrasi. 

Ia harus diperbezakan daripada kleptomani yang merujuk kepada suatu penyakit atau gangguan mental dalam mana penderitanya tidak dapat menahan dirinya mencuri (penderitanya mempunyai tabiat suka mencuri).

Pada pihak lain, negara kleptokratik ini dikuasai oleh para kleptokrat yang melibatkan diri dalam rasuah sebagai alat pengeluaran utama.

Kleptokrat-kleptokrat yang utama tidak terdiri daripada pekerja perkhidmatan awam yang memeras atau menerima suapan untuk membiayai hidup mereka, tetapi daripada elit-elit politik dan birokrasi yang menggunakan rasuah sebagai alat pengeluaran atau faktor pengeluaran dengan tujuan mengumpulkan modal.

Jadi, rasuah sebagai suatu cara dan alat pengumpulan modal tidak diamalkan hanya melalui serangan untuk merampas perbendaharaan negara. 

Ia berjalinkan dengan pelbagai amalan sebagai naungan dan pemburuan rent yang berinstitusi.

Dalam negara kleptokratis elit-elit dan pegawai-pegawai negara mempergunakan jawatan awam untuk memajukan kepentingan ekonomi peribadi dan memperkayakan diri mereka. 

Penerimaan lesen-lesen, francais, insentif, konsesi cukai, dan sebagainya dimudahkan melalui hubungan penaung-dinaung dan sering kali melibatkan nepotisme juga.

Istilah kleptokrasi digunakan, buat kali pertama, oleh seorang ahli sosiologi, Stanislav Andreski, tetapi tanpa keterangan lanjut tentang ciri-cirinya. 

Kita dapat memahami kleptokrasi dengan merujuk kepada dua antara ciri-cirinya.

Pertama, ia merupakan sejenis jenayah (kriminaliti) negara. 

Kedua, ia berdasarkan kepada rasuah egoistik. 

Di sini kita perlu membezakan antara rasuah egoistik dan rasuah solidaristik. 

Rasuah solidaristik merujuk kepada segala tindakan rasuah yang bertujuan untuk membantu kaum-keluarga dan sahabat disebabkan oleh perasaan kewajiban moral dan timbal-balik.

Ia didorong oleh kepatuhan kepada apa yang difahami sebagai norma masyarakat. 

Pada pihak lain, rasuah egoistik berasaskan kepada keinginan untuk keuntungan peribadi. 

Perbezaan ini membolehkan kita mengkritik teori kebudayaan rasuah yang mengatakan tindakan rasuah itu adalah selaras dengan nilai tradisional di mana orang tua membantu ahli keluarga yang muda.

Tambahan pula, dengan kemunculan masyarakat moden, ukuran baru digunakan untuk mempertimbangkan dan mengadili amalan-amalan lama yang dirujuk dari segi pandangan moden sebagai rasuah. 

Huraian seumpama ini digunakan untuk mempertahankan dan membenarkan rasuah ataupun mengungkapkan sikap pesimistik terhadap kawalan rasuah.

Tetapi teori kebudayaan ini dapat diterapkan hanya pada kes rasuah solidaristik semata-mata. 

Pada pihak lain, negara-negara kleptokrasi dihinggapi rasuah egoistik dalam mana ikatan kepuakan dan keluarga luas tidak berpengaruh atau wujud lagi.

Negara kleptokratik merupakan negara yang bahaya. Kenyataan ini difahami oleh Abu Zaid ‘Abd al-Rahman ibn Muhammad ibn Khaldun (1332-1406). Menurut ibn Khaldun, “keputusan pemerintah ghalibnya adalah tidak adil, kerana keadilan yang sejati terdapat hanya di khulafa yang sah yang berlanjutan untuk masa yang singkat sahaja”.

Ketidakadilan ini difahami sebagai terdiri daripada bukan sahaja pembeslahan harta dan wang, tetapi termasuk juga pengenaan duti yang tidak di oleh syariah.

Menulis lebih daripada 500 tahun kemudian, ahli falsafah dan pemimpin cendekiawan pemerintah Republikan Sepanyol, Jose Ortega y Gasset, mengatakan dalam bab yang bertajuk “Yang Paling Bahaya, Negara”, campur tangan negara merupakan faktor yang paling bahaya yang mengancam tamadun (The Revolt of the Masses, New York: W.W Norton & Co, 1932).

Pada akhir kurun kel-18 negara itu merupakan sesuatu yang agak terbatas urusannya. 

Sepanjang yang menyangkut pentadbiran awam dan dominasi masyarakat negara adalah lemah. 

Tetapi ketidakseimbangan antara kuasa sosial dan kuasa negara menjelma pada abad ke-19 apabila negara menjadi jentera yang dahsyat dan hebat dan mengakibatkan pembudakan masyarakat dan birokratisasi kehidupan manusia.

Dengan kemunculan kelas buruh dan penambahan dalam tingkah laku kejenayahan yang berikutan, kewibawaan negara bertambah luas. 

Namun demikian, Ortega memberi amaran “parti ‘undang-undang dan ketenteraman’ adalah tidak bijak dengan membayangkan "kuasa kewibawaan awam" yang diwujudkan untuk memelihara ketenteraman akan sepanjang masa berpuas hati dengan memelihara ketenteraman yang dikehendaki oleh parti.

Akhirnya, mereka sendiri yang akan mentakrifkan dan menentukan orde yang mereka mendirikan yang memang akan merupakan orde yang paling sesuai dengan mereka”. 

Contoh negara-negara yang bahaya diperbesar-besarkan secara empiris dalam kes fasisme dan komunisme, tetapi terdapat juga di negara-negara kapitalis pasca-penjajahan.

Setakat mana sesuatu negara itu tidak merupakan kuasa yang bahaya berasaskan kepada perbezaan antara kepentingan awam dan peribadi. 

Dalam keduanya tamadun Islam dan Barat faham kepentingan rakyat (umma, patria) diamalkan. Umpamanya, Sayyidina Ali (ra) merujuk kepada penerimaan suapan dan nepotisme sebagai satu kesalahan.

Oleh kerana negara memainkan peranan yang amat penting, khususnya di negara-negara Dunia Ketiga, negara kleptokratik dapat membawa kesan yang amat buruk ke atas ekonomi, termasuk kehilangan pendapatan pemerintah, kekurangan kecekapan, herotan dasar-dasar kerajaan, dan penumpuan modal.

Titik ujung korupsi adalah kleptokrasi, iaitu, pemerintahan oleh para pencuri atau kleptokrat. 

Dalam negara seumpama ini , berpura-pura bertindak jujur pun ditinggalkan. 

Apakah kita dapat mengelakkan perubahan Malaysia kepada negara kleptokratis? 

Ini bergantung kepada sejauh mana kuasa rakyat dapat mempengaruhi pemimpin-pemimpin kita.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .