Luahan kebimbangan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai kemelut 1MDB dan juga tuduhan yang menyelungkupi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak amat dialu-alukan.
Apakah suara Muhyiddin ini mewakili suara majoriti di dalam Kabinet ataupun Barisan Nasional (BN)?
Apakah Muhyiddin akan terus mendesak sehingga Najib sekurang-kurangnya bercuti sehingga siasatan pasukan petugas khas isu 1MDB selesai atau mengasak Najib untuk disoal siat?
Pada 6 Mac yang lalu, Muhyiddin memberikan amarankerajaan akan menanggung kerugian jika penstrukturan semula 1MDB melibatkan penjualan tanah TRX (Tun Razak Exchange) dan Bandar Malaysia yang diperoleh pada harga yang rendah daripada kerajaan dan hasil penjualan digunakan untuk membayar hutang syarikat.
Namun selepas itu Muhyiddin memilih untuk mendiamkan diri apabila Lembaga Tabung Haji digunakan untuk membeli tanah TRX 1MDB yang sehingga kini masih tidak dapat dijual kepada pembeli lain meskipun Najib dan Pengerusi LTH Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata ramai pembeli yang berminat memiliki tanah TRX.
Apakah Muhyiddin akan mendiamkan diri sekali lagi selepas bersuara lantang seperti 5 bulan yang lalu?
Keseriusan Muhyiddin dalam isu 1MDB ini boleh diukur melalui kesanggupan beliau menuntut agar Kabinet membatalkan penggantungan permit The Edge dan juga mendedahkan laporan interim 1MDB yang dilakukan Ketua Audit Negara kepada umum.
Jika 2 perkara ini tidak dapat diusahakan Muhyiddin, anggaplah luahan Muhyiddin semalam hanyalah sekadar wayang bagi mengurangkan kerosakan imej terhadap Umno.
No comments: