Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menasihati rakyat Malaysia supaya bersangka baik dalam insiden membabitkan layanan istimewa diterima isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor dipakaikan kasut, seperti dirakamkan dalam klip video yang dikongsi di media sosial.
Asri berkata bukan perkara ganjil jika seorang "berusia lagi gempal" meminta orang lain menolong memakai kasut untuknya.
"Bagi saya, jika seorang yang berusia lagi gempal meminta orang lain tolong mengenakan kasutnya, itu tidaklah ganjil. Apatah lagi jika tempat berkenaan tiada kerusi membolehkan beliau duduk," katanya dalam laman Facebooknya hari ini.
Asri menyifatkan cemuhan berlebihan rakyat Malaysia yang tidak bersangka baik dengan insiden itu, sehingga melabelkan isteri perdana menteri dengan perkataan kurang enak, sebagai perbuatan tidak wajar dan biadab.
"Apa yang penting si pembantu sudi membantu. Hulurkan simpati. Janganlah kita kata 'terlebih manja', ataupun 'kalau tidak mampu pakai kasut, jangan pakai' atau seumpamanya. Itu tidak wajar dan tiada simpati. Mungkin juga biadab," katanya.
Tetapi Asri berkata reaksi sama diharapkan daripada kerajaan supaya bersimpati dengan rakyat yang semakin terbeban dengan kenaikan kos sara hidup.
Beliau menegur kerajaan supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang mengundang kemarahan, sebaliknya melakukan sesuatu mengurangkan beban dan masalah ditanggung rakyat.
"Demikianlah juga keadaan rakyat. Jika rakyat tidak mampu dengan tekanan belanja seharian, kerajaan wajarlah hulur simpati. Kenaikan harga barang, GST, kehilangan itu dan ini menjadikan rakyat tertekan dan perlu diselamatkan.
"Janganlah kata 'rakyat manja' ataupun 'jika mahal, jangan beli' ataupun 'jika nak jimat, jangan balik kampung' ataupun apa-apa 'ayat biadab untuk rakyat'. Jika kita simpati kepada orang lain, orang simpati pada kita," katanya.
Sebuah klip video menunjukkan Rosmah dipakaikan kasut oleh seorang anggota polis pada Majlis Berbuka Puasa Perdana Menteri bersama media di Kompleks Media Karangkraf Khamis lalu menjadi viral.
Ramai mengkritik Rosmah selepas menonton video berdurasi 31 saat itu.
Pembantu peribadinya tampil menjelaskan isteri perdana menteri itu memerlukan bantuan kerana sudah berusia dan keadaan lututnya yang tidak kuat.
sumber
No comments: