» » Kerajaan bobrok yang korup masih berkuasa memerintah M'sia setakat hari ini


Kerajaan yang bobrok dengan korupsi dan kontroversi penyelewengan duit berbilion ini masih berkuasa sampai ke saat ini bukan sebab pembangkang yang lemah lagi melemahkan, tetapi sebab majoriti rakyat terlalu pasif kerana masih berada dalam zon selesa.

Hakikatnya, rakyat Malaysia belum menyertai sepenuhnya ruangan demokrasi. Demokrasi yang difahami rakyat hanyalah turun mengundi, itu sahaja.

Majoriti rakyat tidak mahu dan enggan akses ruangan demokrasi yang ada. Sedangkan ruangan ini adalah dijamin Perlembagaan Persekutuan.

Ruangan demokrasi mengakses hak di Malaysia belum digunapakai sebaiknya seperti ruangan bersuara, menyertai kumpulan/organisasi dan ruangan berkumpul dan protes. Kesemuanya dijamin Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Jika ketiga-tiga ruangan ini digunapakai sebaik mungkin, barulah benar-benar boleh dikatakan "Kuasa keramat kuasa rakyat".

Presiden Indonesia yang pertama, Soekarno dalam menggerakkan gerakan kemerdekaan di Indonesia, mengatakan kuasa rakyat adalah kuasa agung yang boleh menghalau kuasa imperialisme dari tanah Indonesia.

"Tidaklah suatu kekuatan yang mendesak melainkan kekuatan pergerakan rakjat."

Bermula dengan rakyat mengakses hak bersuara dalam saluran efektif seperti media massa dan media sosial untuk mengkritik dan memberi idea tentang sesuatu polisi yang dibentang.

Kemudian rakyat pula seharusnya aktif dalam berpersatuan atau dalam berorganisasi. Persatuan itu prihatin dalam membahaskan polisi kerajaan. Persatuan itu juga seharusnya bertindak proaktif dalam mencadangkan penambahbaikan sesuatu polisi jika mereka tidak bersetuju.

Apabila tiba situasi di mana kerajaan gagal mengendahkan suara rakyat, maka rakyat punyai hak dan permit turun berkumpul/berarak dengan aman menunjukkan tanda protes mereka terhadap kegagalan kerajaan.

Ini bukan jenayah tetapi ini adalah kewajipan sebagai peserta demokrasi.

Inilah senario yang berlaku di negara lain seperti negara Eropah dan Timur Tengah. Tidak terkecuali juga negara jiran kita Indonesia dan Thailand. Ruangan demokrasi di sana benar-benar diakses. Pemerintah yang korup akan dibuang takhta dengan segera. Dalam erti kata lain, rakyat benar-benar berkuasa.

Kalaulah rakyat sedar yang mereka berkuasa dan merekalah yang memberi kuasa kepada pemimpin, maka para pemimpin pasti tidak berani "menjadongkan" diri mereka.

Jadong di sini bermaksud jahat, bodoh dan sombong. Sifat jadong juga menyebabkan pemimpin itu korup lagi tidak amanah.

Melihat kepada situasi di Malaysia pada masa kini. Selepas satu persatu skandal korupsi berbilion ringgit dibongkar, rakyat Wajib bertindak. Inilah masa melakukan perubahan.

Perjuangan yang dimulakan generasi sebelumnya belum selesai selagi pemerintah bobrok tidak ditukar. Perjuangan belum selesai jika masih ada rakyat yang ditindas.

Teruskan. Jangan berhenti. Kerana siapa yang berhenti akan digilis sejarah. Teruskan merubah.

Jika sejuta rakyat sedar dan berani, bersiaplah para penguasa untuk dikejutkan daripada mimpi indah dan dihumban keluar. Rakyat pasti bangkit.



About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .