» » 'Kebenaran bagi pihak saya pasti akan muncul'


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini berikrar beliau akan memastikan kebenaran tentang dirinya dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan muncul, walaupun pasukan petugas khas mendakwa berbilion ringgit disalurkan ke dalam akaun peribadinya.

“Jangan dengar perkara mengarut. Terlalu banyak mengarut di media sosial. Jangan dengar langsung. Tidak semuanya benar. Kita akan pastikan kebenaran akan muncul akhirnya.

“Jika (mereka) kata bilion ringgit daripada 1MDB hilang, dengar kepada laporan ketua audit negara dan lihat jika ia benar atau tidak. Saya tidak mahu buat sebarang pengumuman, biar beliau umum,” katanya ketika berucap pada majlis buka puasa di Masjid Salahuddin Al-Ayubi, Taman Melati, Kuala Lumpur.

Beliau berkata demikian sejurus selepas mengingatkan rakyat Malaysia mengenai pemberian wang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M0, cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan projek MRT.

Najib turut mengumumkan projek bernilai RM290 juta untuk membina 11 tingkat tempat letak kenderaan untuk kawasan kediaman Projek Perumahan Rakyat (PPR) di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Jika kita jaga rakyat, mereka akan jaga kita,” katanya, yang disambut dengan tepukan dan sorakan daripada khalayak.

Najib mengulangi kenyataannya iaitu sebagai perdana menteri, beliau tidak akan mengambil sesuatu hak rakyat, menambah kerajaan ikhlas dalam usahanya untuk berkhidmat kepada rakyat.

Perdana menteri berkata, beliau memperkenalkan banyak perubahan untuk memastikan kehendak rakyat dipenuhi, dan memetik sebagai contoh keputusannya untuk menolak protokol di majlis supaya beliau dapat bercakap kepada wakil masyarakat.

“Antara perubahan yang saya buat, bila saya pergi ke majlis, saya tidak ikut protokol. Bila saya duduk makan, saya beri keutamaan kepada wakil masyarakat.

“Bila saya berjumpa dan berbual dengan mereka, walaupun sekejap, saya dapat memahami masalah yang dihadapi penduduk di kawasan berkenaan dan mengukuhkan ikatan kita,” kata Najib.

Awal hari ini, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berkata ketua audit negara berdepan dengan “halangan” kerana 1MDB masih belum lagi menghantar penyata bank dan perjanjian yang ditandatangani kepada jabatan berkenaan.

Bagaimanapun, Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB Arul Kanda Kandasamy berkata pihaknya sudah menghantar semua dokumen dalam milikan mereka dan akan menghubungi ketua audit negara untuk mengetahui dokumen mana yang masih diperlukan.

Pada Khamis, The Wall Street Journal (WSJ) melaporkan hampir AS$700 juta (RM2.6 bilion) bergerak di kalangan agensi kerajaan, bank dan entiti yang berkait dengan 1MDB sebelum akhirnya berada dalam akaun peribadi perdana menteri menerusi 5 deposit berasingan.

Najib setakat ini menyangkal dakwaan itu, berkata ia adalah muslihat politik dibuat musuhnya, termasuk bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Akhbar berpangkalan di New York itu bagaimanapun menegaskan siasatan mereka berdasarkan kepada dokumen yang kukuh.

Pasukan petugas khas menyiasat tuduhan itu dalam satu kenyataan pada Selasa berkata, 6 akaun bank berkait dengan tuduhan itu dibekukan.

Selain membekukan akaun bank berkenaan, pasukan petugas khas itu turut merampas dokumen berkait dengan 17 akaun di 2 bank untuk siasatan lanjut.

sumber

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .