» » Gesa Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuh untuk siasat skandal 1MDB


Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mendesak agar satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dibentuk bagi menyiasat dana sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Gesaan dibuat oleh Setiausaha Biro Pemantauan dan Integriti Perkasa, Azrul Akmal Saharudin dalam satu kenyataan, pagi ini.

"Biro bertegas mengulangi desakan kita sebelum ini agar sebuah suruhanjaya diraja dibentuk di mana ia mempunyai kuasa bermandat untuk menyiasat mana-mana pihak tanpa kompromi supaya tidak ada lagi keraguan di mata rakyat selepas keputusan siasatan diumumkan," kenyataannya dipetik.

Gesaan itu dibuat Azrul selepas 1MDB didakwa tidak memberikan kerjasama sepenuhnya dalam memberikan segala dokumen yang diperlukan dalam siasatan yang dijalankan Jabatan Audit Negara.

Sebelum ini, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata Kabinet mesti menjadikan 1MDB agenda mutlaknya dan memutuskan satu RCI dibentuk mengenai firma yang bermasalah itu, susulan pendedahan yang syarikat milik ahli perniagaan Low Taek Jho didakwa melarikan AS$700 juta darinya.

Menurut Lim, kegagalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyelesaikan skandal sekitar dana pelaburan strategik negara yang dibebani hutang itu boleh membawa kepada penyingkirannya.

"Najib tidak boleh terus mengelak isu itu dan saya menyeru beliau menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi skandal RM42 bilion 1MDB ini, khususnya berhubung pendedahan Sarawak Report yang ia memperoleh akses kepada beribu-ribu dokumen dan e-mel yang berkaitan dengan transaksi 1MDB.

"Sekiranya skandal RM42 bilion 1MDB itu tidak ditangani dengan cara yang bertanggungjawab dan memuaskan, kita mungkin menyaksikan buat pertama kalinya di Malaysia seorang perdana menteri meletak jawatan atau disingkirkan akibat satu skandal kewangan," kata Lim dalam satu kenyataan pada 1 Mac lalu.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .