» » 'Kain rentang minta Najib Razak letak jawatan hanya provokasi'


Sebidang kain rentang yang dipasang di kawasan perumahan Pulai Jaya, Johor, menggesa peletakan jawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, hanya satu provokasi untuk mengalihkan isu, kata pemimpin Umno peringkat negeri, Datuk Samsol Bari Jamali.

Katanya, semua ahli Umno mempunyai saluran menyampaikan pendirian dan rasa tidak puas hati mereka, oleh itu, mereka tidak perlu berbuat demikian ketika kemeriahan Aidilfitri masih lagi disambut umat Islam di seluruh negara.

"Sekarang ini semua orang boleh buat kain rentang. Saya pun boleh buat kain rentang tolak Kit Siang di Gelang Patah," kata ketua penerangan Umno Johor itu kepada The Malaysian Insider, merujuk ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang.

Pulai Jaya 2 terletak dalam kawasan Parlimen Gelang Patah yang diwakili Lim, ketua Parlimen DAP, yang menewaskan bekas menteri besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman, pada Pilihan Raya Umum 2013.

"Umno Johor Baru tidak buat perkara macam itu," kata Samsol, yang juga merupakan ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Semarang.

Beliau menyifatkan perkara itu isu terpencil yang tidak dipandang serius oleh Umno.

The Malaysian Insider pada Isnin melaporkan mengenai kain rentang dengan logo Umno dan gambar Najib memakai baju melayu ungu dan songkok dengan kata-kata: "Kami Umno Bahagian Pulai Jaya 2 hilang kepercayaan kepada PM dan jemaah menteri. Kamu wajib letak jawatan, kalau ada maruah atau terima kekalahan PRU14 atas sifat ego dan tamak kamu".

Bermain dengan perkataan slogan 1Malaysia Najib, "Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan", di kain rentang itu juga tertulis: "Poket Didahulukan, Rakyat Dikorbankan".

Difahamkan, kain rentang itu juga sudah diturunkan, 3 hari selepas ia dipasang, tetapi gambarnya yang sempat dirakam tersebar di media sosial dan diedar melalui aplikasi telefon pintar.

Satu kenyataan yang dikeluarkan Umno bahagian Gelang Patah mengesahkan kain rentang itu memang dipasang, tetapi menekankan ia hanya satu "insiden terpencil".

Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong ketika diminta mengulas, turut menafikan penglibatan anggotanya dengan pemasangan kain rentang tersebut.

Beliau sebaliknya berkata, DAP tidak akan berselindung dalam menuntut Najib meletak jawatan atau berehat sementara isu membabitkan presiden Umno itu, khususnya berhubung firma 1Malaysia Development Berhad (1MDB), masih dalam siasatan.

"DAP terus terang. Tidak buat kain rentang tidak bernama. Kita macam Dr Mahathir, Najib perlu jawab berhubung isu akaun peribadinya," katanya merujuk Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas perdana menteri itu mutakhir ini sering menyerang pentadbiran Najib berhubung beberapa dasar pentadbiran beliau dan 1MDB yang diilhamkannya, yang ditubuhkan pada 2009 dan kini menanggung hutang RM42 bilion selepas 6 tahun beroperasi.

Liew yang juga ahli Parlimen Kluang berpendapat, kain rentang itu menunjukkan terdapat masalah dalaman di dalam Umno.

"Ini memang orang dalam Umno nak kacau Najib, tidak perlu libatkan DAP. Kalau kami, senang sahaja... Najib perlu bercuti atau letak jawatan.

"Pendirian DAP jelas... tidak perlu sembunyi-sembunyi," katanya kepada The Malaysian Insider.

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Khaled Nordin sementara itu dalam kenyataannya berkata, kepimpinan tertinggi Umno negeri itu juga masih belum menerima laporan rasmi berhubung kejadian tersebut.

"Pertama, kita (Umno Johor) ada beribu cawangan... Keduanya, kita sendiri tidak tahu adakah cawangan itu yang menggantung kain rentang itu.

"Kita masih belum menerima laporan rasmi," katanya.

Ketua Umno Gelang Patah Mohammad Khairi A. Malik dalam responsnya kelmarin berkata, bahagian itu ada mengambil inisiatif dengan mengadakan dialog bersama ketua cawangan sebelum bulan Ramadan lalu bagi menjelaskan isu semasa, termasuk mengenai dakwaan terhadap perdana menteri.

Beliau yang juga setiausaha politik menteri besar Johor itu berkata, sesi itu bertujuan memastikan ahli di peringkat akar umbi memahami keadaan berhubung isu semasa yang dibangkitkan.

Mengesahkan perkara itu, Samsol berkata kepada The Malaysian Insider, ahli Umno juga boleh membangkitkan pelbagai isu dalam pertemuan mereka tanpa sekatan.

Penduduk berhampiran kawasan itu sementara itu memaklumkan, mereka pernah melihat kain rentang tersebut.

Rahmat Mat Taib berkata, beliau melihat kain rentang itu ketika dalam perjalanan ke Pontian untuk beraya.

"Saya nampak semasa hari raya ketiga, waktu itu saya sedang dalam perjalanan ke Pontian untuk beraya di sebelah mertua.

"Tetapi saya merasakan mungkin bukan orang Umno cawangan berbuat demikian," katanya.

Rahmat turut berpendapat kain rentang itu hanyalah sekadar satu provokasi.

"Saya rasa ia hanya sekadar provokasi," katanya, dan menambah, pihaknya juga tidak mengetahui mana-mana individu yang terlibat memasangnya.

Seorang usahawan wanita yang enggan dikenali berkata, pihaknya hanya mengetahui perkara itu melalui laman media sosial Facebook selepas ia dikongsi rakan-rakannya, memandangkan kain rentang itu terletak berhampiran dengan kediamannya.

"Saya hanya tahu melalui Facebook, cerita sebenar saya tidak tahu. Saya pun tak tahu siapa yang pasang kain rentang itu," katanya.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .