» » Gesa Najib Razak dedahkan akaun bank kepada rakyat selepas video tersebar


DAP hari ini menggesa Datuk Seri Najib Razak menjelaskan kepada rakyat Malaysia selepas penyebaran video yang menunjukkan bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa perdana menteri mengaku RM2.6 bilion disalurkan ke akaun bank peribadinya.

"Beritahu semua orang dan tunjukkan semuanya pada sidang media. Beliau perlu membuktikan tiada apa yang disembunyikannya," kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, hari ini.

"Bila dia mahu tunjukkan akaun bank yang ditutup? Walaupun sudah ditutup, dia masih boleh tunjukkan."

Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata, sehingga Najib berbuat demikian, persoalan dan keraguan tentang skandal wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tetap timbul.

Lim berkata, Najib perlu jelaskan kerana ini bukan hanya melibatkan dirinya atau imej Umno.

"Sekarang ini ia melibatkan imej negara. Kita menjadi bahan ketawa dunia sekarang. Berita antarabangsa tentang Malaysia dan skandal 1MDB. Tiada berita baik langsung.

"Masalah bertambah besar dengan MH370 dan MH17," katanya, merujuk kepada tragedi nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) tahun lalu.

Dalam video yang dibocorkan sejak semalam, Muhyiddin dilihat memberitahu tetamunya di rumah pada petang Selasa lalu bahawa beliau mendesak Najib tentang laporan The Wall Street Journal (WSJ) mengenai US$700 juta (RM2.67 bilion) daripada firma berkaitan 1MDB dimasukkan ke akaun peribadi perdana menteri.

"Saya tanya dia daripada siapa? Dia tak sebut nama, daripada Timur Tengah. Berapa banyak? Lepas itu dia...(tidak jelas) susahnak kiralah. Dia kata 'a lot', 'a lot'.

"Then saya kata kenapa masuk akaun you? ... (tidak jelas) ... kenapa masuk akaun Najib Razak? Duit berapa? 700 million US dollar. Kalau kali tiga point something... 2.6 billion that goes into his personal account.

"Ini dia sebut. He admitted. So I said why did you put into your personal account?" kata Muhyiddin dalam video tersebut.

Klip video itu juga menunjukkan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang melawat Muhyiddin di kediaman Bukit Damansara, hari sama selepas Najib mengumumkan rombakan Kabinet.

Lim berkata, beliau berharap Najib perlu tampil memberi penjelasan memandangkan video tersebut sudah tersebar luas.

"Ini bukan pembangkang kata. Ini Muhyiddin kata Najib mengakui terima duit itu. Kita harap dia akan jawab.

"Kita harap dia tidak akan serahkan kepada Datuk Ahmad Maslan untuk menjawab bagi pihaknya kerana Ahmad tidak meyakinkan.

"Rakyat tidak percaya dia (Ahmad). Dia sebelum ini dah menyakitkan hati rakyat dengan cukai barangan dan perkhidmatan," katanya merujuk kepada timbalan perdagangan antarabangsa dan industri.

Ahmad seblum ini timbalan menteri kewangan diserang kerana mempertahankan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Lim juga membidas Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah kerana mengkritiknya bercakap terlalu banyak.

Lim berkata, beliau akan terus membuat kenyataan demi kebenaran dan keadilan serta memerangi rasuah.

"Saya nak beritahu Nik Amar yang saya akan terus bercakap. Jika saya kalah pilihan raya kerana lantang bercakap demi rakyat, biarkanlah.

"Saya tidak akan jadi orang yang takut bercakap dan mempertahankan kebenaran kerana saya takut kalah pilihan raya," katanya.

Lim berkata, kenyataan Amar menunjukkan PAS hanya mengkritik DAP dan bukan perdana menteri atau Umno.

"Dia seperti Hadi yang tidak membuat pendirian tentang rombakan kabinet dan penyingkiran Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail," katanya merujuk kepada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Amar sebelum ini berkata, "DAP cakap terlalu banyak" dan Lum perlu belajar "menyimpan" kenyataannya untuk mengelakkan sebarang masalah.

Beliau dalam responsnya terhadap kenyataan Lim sebelum ini yang mengatakan semua yang menyokong pentadbiran Barisan Nasional akan mengalami kekalahan pada pilihan raya akan datang termasuk PAS kerana skandal 1MDB.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .