» » 'Duit yang masuk ke dalam akaun peribadi seseorang adalah hak individu dan tak perlu didedahkan kepada umum'


Kandungan akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak tiada kena mengena dengan bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, kata Penasihat Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Tun Faisal Ismail Aziz.

Dalam tulisan di blognya, Tun Faisal berpandangan wang yang masuk ke dalam akaun peribadi seseorang adalah hak individu berkenaan dan tidak perlu didedahkan kepada umum.

Kenyataan Tun Faisal ini yang dibuat melalui tulisan di blognya selepas Muhyiddin dalam satu video yang dibocorkan, berkata yang Najib mengakui sejumlah AS$700 juta (RM2.6 bilion) dimasukkan ke dalam akaunnya.

"Duit yang masuk ke dalam akaun peribadi, itu hak dan rahsia peribadi individu yang tidak perlu diisytiharkan kepada orang ramai.

"Sama seperti duit yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi kita," tulis Tun Faisal.

Menurut Tun Faisal, seseorang itu hanya perlu mengisytiharkan wangnya jika ada tuduhan ia datang daripada sumber meragukan, namun perkara tersebut hanya perlu diumumkan kepada penyiasat.

"Lainlah jika ada dakwaan duit itu datang daripada sumber yang salah. Barulah seseorang itu perlu membuat perisytiharan, tetapi bukan kepada umum.

"Dia hanya perlu buat perisytiharan kepada pihak berkuasa yang membuat siasatan," katanya lagi.

"Apabila ada pihak yang hendak masukkan sejumlah wang ke dalam akaun peribadi seseorang sebagai bantuan dana politik, itu adalah bantuan dana politik kepada individu tersebut.

"Terserahlah bagaimana dia hendak menggunakannya asalkan tidak untuk tujuan yang menyalahi undang-undang sebab itu dana politik peribadinya.

"Sama ada dia hendak menggunakannya untuk membantu orang, hendak diberikan kepada jentera atau apa saja, itu adalah hak beliau," katanya.

Menurut Tun Faisal, setakat ini tiada bukti menunjukkan duit dalam akaun Najib berpunca daripada wang negara.

"Penyiasat boleh merujuk penyata akaun dan dokumen daripada 1MDB dan PetroSaudi, sama ada benar duit daripada sumber ini masuk ke dalam akaun peribadi Najib Razak atau tidak.

"Setakat ini penyata kewangan beraudit 1MDB dan PetroSaudi tidak menunjukkan duit daripada mereka masuk ke dalam akaun peribadi Najib," katanya lagi.

Dalam video berkenaan, Muhyiddin kelihatan memberitahu tetamu di rumahnya yang beliau bersemuka dengan Najib berhubung laporan The Wall Street Journal (WSJ) mengenai wang AS$700 juta (RM2.67 bilion) daripada syarikat berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang didakwa didepositkan ke akan peribadi perdana menteri itu.

“Saya tanya dia (Najib) daripada siapa? Dia tak sebut nama, tetapi dari Timur Tengah. Berapa banyak? Lepas itu dia kata, susah nak kata, dia kata ‘a lot, a lot’.

“Kemudian saya kata, kenapa masuk akaun anda? Kenapa masuk akaun Najib Razak? Duit berapa? AS$700 juta.

“Kalau anda kali dengan 3 (tiga perpuluhan)... RM2.6 bilion masuk ke akaun peribadinya. Ini dia sebut, dia mengaku,” kata Muhyiddin dalam video itu.

Video itu terus berakhir sebaik selepas Muhyiddin berkata, “Jadi, saya kata kenapa anda letak dalam akaun peribadi anda”.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .