» » Buat apa anjurkan demonstrasi jika tidak ubah apa-apa ?


Adakah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan didakwa kalau kami semua berdemo 1 Ogos ini? Beliau akan berundur sebaik sahaja selesai berdemo? Jika tidak mengapa buang masa berhimpun di bawah hujan dan panas matahari? Berpeluh ketiak, bro.

Ini adalah di antara beberapa persoalan yang sering sahaja berlegar-legar terutama di ruang maya, yang kebiasaannya dipersoalkan orang ramai terutamanya apabila satu-satu demonstrasi diumumkan, atau pasca-demonstrasi yang mana tuntutan dibawa tidak diendahkan.

Sebagai contoh mari kita lihat himpunan “Batal GST” pada 1 Mei yang lalu. Dalam keadaan politik tidak menentu, lebih 20,000 orang turun membanjiri Kuala Lumpur, berhimpun bagi menyatakan bantahan terhadap cukai Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Adakah GST dibatalkan pada keesokan harinya? Tidak. Malah sehingga artikel ini ditulis, GST masih juga wujud dan diguna pakai. Jadi adakah demonstrasi pada 1 Mei dikira sebagai demonstrasi yang gagal? Boleh jadi tidak.

Jadi perlu apa? Jadi hantu atau jadi buaya? Adakah kejayaan sesuatu demonstrasi itu diukur dengan jumlah partisipasi massa? Atau kejayaan demonstrasi itu hanya dicapai jika tuntutan yang dibuat diterima serta merta selepas habis berdemo?

Jika 1 juta rakyat turun berhimpun, adakah itu merupakan satu kejayaan walau tuntutan tak diendahkan? Benar ini persoalan penting. Cuma di Malaysia, jika 1 juta rakyat berhimpun, pada hemat saya ia tidak dipanggil demonstrasi, boleh kiranya ia dipanggil revolusi.

Ada beberapa perkara yang saya kira ramai orang masih kurang jelas, mengenai tujuan dan objektif bagi setiap demonstrasi. Jujur, satu-satu demonstrasi itu mungkin tidak akan memberi kesan yang begitu besar, atau mungkin langsung tidak memberi sebarang impak diharapkan. Jadi kenapa berdemo?

1. Demonstrasi ini proses demokrasi

Demonstrasi ini bukan sekadar protes, ia adalah proses. Demonstrasi adalah salah satu medium kita meraikan proses demokrasi. Demokrasi bukan sekadar kita memberikan undi pada setiap pilihan raya, tetapi ia adalah proses yang berterusan.

Setiap negara yang mengamalkan sistem demokrasi memberi ruang kepada rakyatnya untuk berhimpun secara aman menyatakan bantahan terhadap mana-mana tindakan atau dasar kerajaan yang tidak dipersetujui.

Malaysia juga tidak berkecuali di mana hak untuk bersuara, berhimpun dan berpersatuan terlindung di dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan “semua warganegara berhak berhimpun secara aman dan dengan tidak bersenjata”.

2. Memberikan tekanan kepada kerajaan

Selain sekadar cakap-cakap di mulut, sebaran rasa tidak puas hati di dalam WhatsApp dan media sosial sambil duduk di kerusi empuk, demonstrasi menjadi bukti fizikal ada sebahagian rakyat yang tidak bersetuju dengan dasar atau tindakan yang diambil oleh kerajaan(atau pihak lain).

Demonstrasi yang berjaya akan mendapat liputan media yang meluas (termasuk media antarabangsa!) yang mana ia bakal memberikan imej buruk terhadap pentadbiran kerajaan kepada negara luar dan pelabur asing.

Ini sedikit sebanyak memberikan tekanan pada pihak kerajaan yang menjadikan mereka lebih berhati-hati sebelum membuat sebarang dasar atau tindakan yang melibatkan rakyat. Bayangkan harga minyak, tol dan barang komoditi jika tidak ada langsung demonstrasi yang dijalankan?

3. Demonstrasi membawa perubahan

Perubahan takkan datang dengan hanya sehari berdemonstrasi. Ia adalah proses yang berterusan dengan memberikan tekanan berterusan.

Demonstrasi adalah salah satu medium yang digunakan Mahatma Ghandi bagi membebaskan India, Nelson Mandela di Afrika Selatan, gerakan Otpor di Serbia, juga boleh lihat banyak lagi kejayaan di seluruh dunia yang dicapai melalui proses demonstrasi. Malaysia juga punya sejarah berkaitan demonstrasi jalanan.

Bagaimana kita berjaya menggagalkan Malayan Union seperti yang diceritakan di dalam buku teks sekolah? Jawapannya demonstrasi jalanan! Ingat himpunan Turun tahun lalu yang menggagalkan rancangan kerajaan menaikkan harga tol?

Sebenarnya ada banyak lagi sebab kenapa kita perlu turun berdemonstrasi. Jadi jangan bersedih sekiranya demonstrasi yang disertai tak membawa perubahan sekelip mata. Perjuangan ini panjang, kawan.



About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .