"Saya sedia berdepan dengan sebarang tindakan parti sekiranya Tan Sri Muhyiddin Yassin datang merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian saya, Kluang pada Ahad ini seperti yang telah dijemput.
"Tak mengapa. Tunggu Ahad ini sehingga Muhyiddin datang dan saya juga akan berucap pada majlis itu nanti,".
Itu tegas Ketua UMNO Bahagian Kluang, Md. Jais Sarday ketika dihubungi pagi tadi.
Menurut Jais, tidak ada sebab untuk dia membatalkan undangan itu kerana Muhyiddin masih lagi Timbalan Presiden UMNO.
"Beliau akan datang atas kapasiti Timbalan Presiden parti dan bukan Timbalan Perdana Menteri atau Menteri Pelajaran.
"Jadi adakah salah jika Timbalan Presiden parti datang untuk merasmikan mesyuarat kami seperti yang telah dirancang? Yang dipecat adalah jawatannya dalam kerajaan, bukannya dalam parti," katanya.
Tambah Md. Jais, mesyuarat yang akan dirasmikan Muhyiddin itu akan diadakan pada 2 Ogos ini di Dewan Jubli Intan, Kluang.
Dijangkakan bukan sahaja ahli UMNO Bahagian Kluang sahaja yang akan hadir tetapi juga ahli-ahli dari bahagian lain untuk mendengar cerita dari mulut Muhyiddin sendiri tentang apa yang berlaku.
Muhyiddin dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri baru-baru ini apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melakukan rombakan kecil anggota Kabinet.
Selain Muhyiddin, turut dipecat ialah Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal yang merupakan Naib Presiden UMNO.
Pemecatan yang dibuat Najib menjadi kejutan di seluruh negara khususnya ahli-ahli UMNO.
Selain Kluang, UMNO bahagian Kemaman dan Hulu Selangor yang menjemput Muhyiddin dan Shafie kekal dengan keputusan yang telah dibuat.
Sementara beberapa bahagian lain seperti Raub mengambil tindakan membatalkan jemputan ke atas Muhyiddin untuk merasmikan mesyuarat.
Begitu juga dengan UMNO Bahagian Batu Gajah dan Ipoh Barat, Shafie yang sepatutnya dijemput sebagai perasmi turut dibatalkan sejurus pemecatan dibuat Najib.
No comments: