Pascal Najadi, anak kepada pengasas Ambank yang dibunuh, Hussain Ahmad Najadi, mengupah peguam Gobind Singh Deo untuk melihat ke dalam siasatan polis ke atas kematian bapanya.
Najadi ditembak mati pada Julai 2013 di tempat letak kereta di hadapan sebuah kuil Cina di Kuala Lumpur. Isterinya, Cheong Mei Kuen, 51, turut ditembak tetapi hanya cedera di tangan dan paha.
Pasangan itu ketika itu sedang berjalan ke arah kereta mereka yang diletakkan di Lorong Ceylon apabila seorang lelaki bersenjata mendekati mereka dan melepaskan beberapa das tembakan.
Dalam satu kenyataan semalam, Pascal berkata, beliau mengupah khidmat Gobind dan peguam jenayah Israel Nick Kaufman untuk mengkaji semula kecukupan siasatan polis itu dalam keadaan di sekeliling kes pembunuhan bapanya.
Gobind ketika dihubungi hari ini mengesahkan perkara itu dan berkata beliau diupah untuk menjadi peguam pemerhati bagi pihak Pascal dalam kes rayuan itu pembunuh upahan itu, penarik kereta Koong Swee Kwan yang didakwa dalam pembunuhan Najadi itu.
Koong, juga dikenali sebagai "Empat Mata", dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi pada 5 September 2014 berhubung pembunuhan itu.
Dia juga dijatuhi hukuman penjara 18 tahun kerana cuba membunuh Cheong.
"Saya sedang memfailkan kertas mahkamah untuk mendapatkan akses kepada dokumen yang berkaitan dengan kes itu. Saya perlu mengkaji semua dokumen dan rekod dan menjadi peguam pemerhati bagi pihak Pascal," kata Gobind.
Katanya, beliau juga akan mengkaji siasatan polis ke atas kes itu.
"Saya akan menulis secara rasmi kepada pihak polis mengenai perkara ini."
Pascal, dalam satu kenyataan berkata, Gobind dan Kaufman akan menentukan sama ada pihak berkuasa yang menyiasat di Malaysia menjalankan mandat mereka mengikut undang-undang hak asasi manusia tempatan dan antarabangsa.
Pemandu teksi Chew Siang Chee juga didakwa memiliki sepucuk pistol dan peluru yang ditemui dalam sebuah kotak surat di sebuah kondominium sebulan selepas pembunuhan itu.
Beliau didapati bersalah pada 30 Julai, 2013 dan dihukum penjara 10 tahun dan enam sebatan kerana memiliki peluru itu.
Khabar angin bertiup kencang pada masa itu mengatakan motif pembunuhan Najadi adalah berkaitan urusan pembelian hartanah yang menimbulkan masalah, yang melibatkan kuil Cina yang dikunjungi Najadi sebelum pembunuhan itu.
Pascal bagaimanapun sangsi dengan motif itu dan memberitahu The Malaysian Insider dalam satu wawancara pada Mac yang dia sudah memeriksa dan mendapati Najadi tidak terlibat dalam sebarang tawaran yang melibatkan kuil itu.
"Sepanjang pengetahuan kami, ayah saya tidak berniat untuk menimbulkan kemarahan mana-mana pihak yang terlibat. Sekiranya bapa saya tahu beliau menimbulkan masalah atau komplikasi, dia tidak akan terlibat," katanya.
Pascal berkata beliau kecewa dengan kedua-dua pihak polis Malaysia dan Interpol kerana tidak melakukan secukupnya untuk mengesan dalang yang disyaki didakwa mengupah lelaki bersenjata yang membunuh bapanya.
Kumpulan AmBank ditubuhkan pada 1975 sebagai Arab-Malaysian Development Bank oleh Najadi melalui syarikat pegangannya AIAK (Arab Investments for Asia Kuwait).
Dia mengambil alih bank itu melalui Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) pada tahun 1981.
sumber
No comments: