Timbul persoalan hari ini apabila anggota Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) diangkat ke dalam Kabinet ketika siasatan masih berlangsung berhubung skandal syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Pengerusi PAC, Datuk Nur Jazlan Mohamed, bersama Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, dan Datuk Mas Ermieyati Samsul dilantik menjadi timbalan menteri.
Nur Jazlan kini memegang jawatan timbalan menteri dalam negeri, manakala Reezal Merican dilantik sebagai timbalan menteri luar dan Mas Ermieyati dilantik menjadi timbalan menteri pelancongan dan kebudayaan.
Seorang lagi anggota PAC, Datuk Wilfred Madius Tangau kini merupakan menteri sains, teknologi, dan inovasi.
Sebelum ini, jawatankuasa bipartisan itu dianggotai 13 ahli, merangkumi 8 daripada Barisan Nasional dan 5 daripada pembangkang.
Dengan rombakan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini, terdapat keperluan menggantikan 4 anggota PAC itu untuk meneruskan inkuiri terhadap 1MDB minggu hadapan.
Bekas dan eksekutif 1MDB dijangka hadir ke inkuiri PAC bermula 4 Ogos hadapan.
Bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat pelaburan strategik kerajaan itu, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, akan menjadi individu pertama dipanggil berdepan PAC, manakala presiden 1MDB Arul Kanda Kandasamy akan dipanggil pada hari berikutnya.
Mohd Hazem Abdul Rahman, yang berkhidmat sebagai CEO syarikat itu bermula Mac 2013 hingga Januari 2015 dijadualkan menemui jawatankuasa itu pada 6 Ogos.
PAC memutuskan akan meneruskan prosiding mereka terhadap 1MDB dalam mesyuarat khas pada 30 April, selepas sebelum itu berkata akan memulakan siasatan mereka hanya selepas ketua audit negara mengeluarkan laporannya.
Nur Jazlan bagaimanapun kemudiannya berkata, PAC tidak mampu terus menunggu kerana spekulasi berkaitan syarikat itu semakin parah.
1MDB mula menjadi perhatian selepas didedahkan mencatatkan hutang bernilai RM42 bilion selepas hanya 6 tahun beroperasi serta urus niaga dan perjanjian yang dibuatnya dilihat kabur dan tidak telus.
sumber




No comments: