Seorang peguam hari ini membangkitkan persoalan sama ada arahan dikeluarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mendedahkan aset beliau.
Razlan Hadri Zulkifli berkata, pihak berkuasa membanteras rasuah itu boleh menggunakan Seksyen 36, Akta SPRM 2009 meminta Najib mendedahkan keseluruhan aset miliknya, termasuk yang berada di luar negara.
Seksyen itu katanya turut memperuntukkan mana-mana individu yang diarahkan berbuat demikian perlu menyertakan tarikh pemilikan aset mereka dan jika ia dipindah milik, maklumat itu juga perlu didedahkan.
"Sebaik sahaja tuntutan dibuat suruhanjaya, maklumat perlu diberikan seperti tertakluk di dalam undang-undang," kata Razlan kepada The Malaysian Insider.
Beliau berkata pegawai SPRM berpangkat pesuruhjaya dan ke atas, yang mempunyai asas yang kukuh untuk mempercayai yang aset dimiliki seseorang individu itu melanggar akta berkenaan, boleh mengeluarkan notis tersebut.
Razlan berkata individu itu perlu menyerahkan kenyataan bertulis dan akuan bersumpah.
Rakyat, katanya, berhak tahu sama ada SPRM sudah mengeluarkan notis tersebut kepada Najib atau tidak, dan jika tidak, mengapa.
"Tidak salah jika SPRM memaklumkan kepada orang ramai kerana ia melibatkan perdana menteri dan ini kepentingan umum," katanya yang berpengalaman menasihati anak guam mendedahkan aset mereka jika notis berbuat demikian dikeluarkan SPRM.
Razlan berkata demikian sebagai respons kepada akhbar The Wall Street Journal (WSJ) yang mendakwa sejumlah hampir AS$700 juta (RM2.67 bilion) disalurkan ke dalam akaun peribadi Najib.
Akhbar berkenaan melaporkan dalam artikel bertarikh 2 Julai lalu, dari jumlah itu, bahagian terbesar ialah sebanyak AS$681 juta yang didakwa dipindahkan ke dalam akaun Ambank Najib di Kuala Lumpur pada Mac, 2013, sebelum pilihan raya umum berlangsung pada Mei.
WSJ melaporkan sumber maklumatnya ialah dokumen yang diperoleh dari penyiasat Malaysia.
Najib bagaimanapun menafikan dakwaan itu, namun tidak mengulas secara langsung mengenai pemindahan dana ke dalam akaunnya.
Beliau sebaliknya menyalahkan mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai dalang di sebalik dakwaan itu.
Pasukan petugas khas turut dibentuk, dianggotai Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, bagi menyiasat dakwaan itu.
Pasukan itu setakat ini membekukan 6 akaun bank dan merampas dokumen membabitkan 17 akaun bank.
Ia membuat serbuan ke pejabat SRC International Sdn Bhd, Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Ihsan Perdana Sdn Bhd, antara syarikat yang dikatakan terlibat dengan pemindahan wang yang kesemuanya didakwa berjumlah AS$11.1 juta (RM42 juta).
Hingga kini, 5 individu, termasuk penghantar surat, ditahan pihak berkuasa bagi membantu siasatan.
sumber
No comments: