» » 1MDB masih belum serah dokumen kepada Jabatan Audit Negara


Syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) masih belum menyerahkan beberapa dokumen kepada Jabatan Audit Negara bagi membantu siasatan, kata Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Pengerusi PAC, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, antara dokumen yang masih belum diberikan ialah penyata kewangan dan beberapa perjanjian berkaitan urus niaga syarikat kontroversi tersebut.

"Meskipun kita berpuas hati dengan hasil laporan interim 1MDB oleh Ketua Audit Negara, tapi apa yang diberitahu kita 1MDB masih belum menyerahkan beberapa dokumen.

"Kerana itu PAC menggesa 1MDB berbuat demikian supaya siasatan dapat dilakukan," katanya pada sidang media selepas majlis penerangan Laporan Ketua Audit Negara (1MDB).

Laporan interim audit 1MDB diserahkan hari ini, dan sesi taklimat diadakan bersama ahli PAC di Parlimen.

Sehingga kini, sesi taklimat masih berlangsung membabitkan sesi soal jawab ahli PAC dan Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang.

Bagaimanapun apabila ditanya adakah laporan interim itu mengenal pasti salah laku urus niaga 1MDB, beliau hanya memberi reaksi ianya terlalu awal untuk mengulas perkara tersebut.

Katanya, sekiranya 1MDB masih gagal menyerahkan dokumen tersebut maka ia menjejaskan usaha jabatan audit negara melengkapkan laporan yang mahu disiapkan sepenuhnya pada hujung tahun ini.

Nur Jazlan juga berkata akan menggunakan pendekatan "memujuk" 1MDB untuk mereka akur dan memberi kerjasama dengan menyerahkan dokumen tersebut kepada jabatan audit negara.

"Ianya syarikat dimiliki penuh kementerian kewangan. Dan apabila Parlimen minta, mereka perlu bagi," katanya.

Pada masa sama beliau juga menolak sebarang kemungkinan terdapatnya beberapa dokumen yang mungkin akan hilang sekiranya syarikat cuba menangguhkan untuk memberi kerjasama menyerahkan bukti tersebut.

Katanya, tidak timbul juga isu kemungkinan berlakunya kekeliruan siasatan antara pasukan petugas khas dan jabatan audit negara kerana skop kajian berbeza.

"Kita tidak boleh buat andaian mereka akan buat perkara begitu (hilangkan dokumen). Lagi pun untuk terbaru ini (pendedahan Wall Street Journal) sudah ada pasukan petugas khas, skop kita berbeza, siasatan PAC lebih kepada pengurusan pentadbiran kerajaan," katanya.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .