Wakil rakyat DAP Charles Santiago hari ini mencadangkan Datuk Seri Najib Razak mengambil cuti ketika ini sementara ketua audit negara menyiasat akaun syarikat bermasalah 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Ahli Parlimen Klang itu berkata, perdana menteri perlu menjauhkan dirinya sehingga ketua audit membersihkan beliau dan keluarganya dari sebarang penglibatan dalam syarikat pelaburan negara yang sarat dibebani hutang itu.
"Kabinet harus menasihati perdana menteri untuk pergi bercuti sehingga laporan ketua audit negara membersihkan kedudukannya dan ahli keluarganya daripada sebarang penglibatan dalam kontroversi berterusan 1MDB.
"Menteri kabinet tidak disiasat dalam hal ini. Tetapi, keputusan Najib dan kepentingan beliau dalam 1MDB yang menjadi sasaran siasatan.
"Rakyat Malaysia berhak menuntut perdana menteri mereka mengamalkan standard tertinggi integriti dan ketelusan dalam menguruskan hal ehwal negara ini," katanya dalam satu kenyataan.
Kritikan memuncak sejak dana pelaburan milik penuh Kementerian Kewangan yang ditubuhkan pada 2009 itu mencatatkan hutang mencecah RM42 bilion hanya dalam tempoh enam tahun beroperasi.
Keadaan makin hangat susulan pendedahan dibuat laman pemberi maklumat Sarawak Report yang menekan Najib dan mendorong pemimpin politik pembangkang, bekas dan pemimpin Umno semasa, termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad, dan kumpulan anti-rasuah menuntut siasatan menyeluruh dijalankan ke atas dana itu.
Santiago juga memberi amaran yang pendedahan hutang 1MDB itu berpotensi menggoncang sektor kewangan.
"Urusan kewangannya tidak telus. Bayaran balik pinjamannya berdasarkan lebih pinjaman dan keputusan perniagaan dan pelaburannya berbau kepentingan diri," katanya, memetik kegagalan syarikat itu.
"Pendek kata, semua ini adalah ciri-ciri sebuah syarikat gagal yang perlu dihantar ke unit rawatan rapi."
Oleh itu, katanya, Najib tidak berhak mengugut menteri Kabinetnya.
Utusan Malaysia melaporkan semalam, Najib mengeluarkan kata dua kepada Kabinetnya, meminta menterinya meletak jawatan sekiranya mereka tidak menyokong pelan pemulihan 1MDB beliau.
Ia bagaimanapun dinafikan Menteri Kebudayaan dan Pelancongan Datuk Seri Nazri Aziz yang memberitahu The Malaysian Insider, Najib mengamalkan keterangkuman dan kata sepakat dari rakan-rakan Kabinetnya.
sumber
No comments: