Polis menghentikan Tun Dr Mahathir Mohamad daripada bercakap di forum tentang syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang sepatutnya dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pagi ini.
Polis naik ke atas pentas apabila bekas perdana menteri itu mula bercakap selama 5 minit dan menggesanya untuk berhenti.
Polis kemudiannya mematikan mikrofon dan membawa Dr Mahathir meninggalkan Dewan Tun Hussein Onn di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.
Terdahulu, Dr Mahathir kelihatan cuba berunding dengan pegawai polis itu dan memberitahu beliau dijemput dan sepatutnya dibenarkan bercakap.
Tetapi pegawai polis itu mematikan mikrofon dan memadamkan video.
Keadaan menjadi kecoh dan kira-kira 1,000 hadirin mula menjerit memarahi polis dan ada naik ke atas pentas.
Dr Mahathir kemudian mengadakan sidang akhbar sebelum turun dari pentas.
Beliau dibenarkan bercakap kepada pemberita dan selepas sidang media, sepasukan polis membawanya ke keretanya sambil orang ramai menjerit:"Hidup Tun! Hidup Tun! Hidup Tun!".
Keadaan di dalam Dewan Tun Hussein Onn di PWTC pagi ini pada awalnya tegang apabila hadirin berang dan mendesak Najib hadir di majlis itu.
Penganjur Dialog PM Bersama NGO, Suka Guam terlebih dulu mengumumkan program hari ini akan diteruskan walaupun tanpa kehadiran Najib.
Katanya, Najib tidak hadir selepas polis menasihatinya atas faktor keselamatan.
Penganjur juga mengumumkan terdapat satu pergaduhan berlaku di luar dewan dan polis memaklumkan kepada mereka kekecohan akan berlaku dalam program hari ini.
Sebelum itu, SukaGuam memaklumkan pihaknya masih berunding dengan polis untuk membenarkan Najib menghadiri forum berkenaan.
Dr Mahathir tiba di PWTC seawal jam 8.50 pagi tadi untuk menghadiri dialog itu.
sumber
No comments: