» » 'Pisahkan jabatan audit dari Kementerian Kewangan'


Jabatan Audit Negara seharusnya dipisahkan daripada Kementerian Kewangan dan diletakkan di bawah Parlimen untuk memastikan pengauditan yang dijalankan telus dan mengelak berlakunya konflik kepentingan, kata DAP.

Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua berkata, amalan sedia ada kini mengkehendaki Jabatan Audit Negara melaporkan kepada kementerian tersebut, yang mana turut diketuai Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Meskipun jabatan audit menjalankan tugas mereka dengan baik dalam mengaudit jabatan kerajaan, timbul kebimbangan terhadap kebebasan audit apabila mereka menyiasat syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB)," kata ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu dalam satu kenyataan malam tadi.

"Ini kerana ketua audit perlu melaporkan kepada menteri kewangan yang juga perdana menteri," katanya, merujuk kepada Najib.

Pua berkata demikian sebagai respons terhadap kenyataan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang berkata beliau lebih mempercayai Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berbanding jabatan audit dalam menjalankan pengauditan terhadap 1MDB.

“Saya lebih percaya kepada PAC berbanding Audit Negara. Audit Negara hanya memeriksa akaun, mereka tidak lakukan audit forensik, mereka tidak cuba selidik dan cari ke mana dan bagaimana wang itu digunakan, juga di mana mereka hilangkan wang itu.

"Mereka hanya memeriksa akaun, tetapi mereka tidak akan temui banyak perkara kerana mereka yang menyimpan buku kira-kira ini mungkin orang yang sangat pandai,” katanya sambil menambah, jika PAC menjalankan kuasa penuh, ia juga boleh memanggil Najib mengenai isu itu.

Pua berkata, reputasi jabatan audit juga agak positif kerana banyak pendedahan berjaya dilakukan mereka hasil daripada laporan audit yang dikeluarkan setiap tahun.

"Tanpanya, rakyat Malaysia tidak akan mengetahui mengenai pembelian satu set pemutar skru berharga RM224, atau komputer riba berharga RM4,000 dibeli pada harga RM42,000, atau binokular berharga RM1,941 dibeli pada harga RM56,350.

"Namun, apabila bekas perdana menteri menyuarakan rasa kurang yakinnya, ia sedikit sebanyak memberikan kesan kepada kredibiliti jabatan audit," kata pemimpin DAP itu.

"Mungkin kurangnya keyakinan disebabkan jabatan audit negara bukanlah entiti bebas seperti yang dilihat kerana ia hanyalah sebuah jabatan di bawah kementerian kewangan," katanya.

Beliau berkata, diketahui umum, isu membabitkan 1MDB turut membabitkan Najib yang memberikan surat kebenaran dalam setiap urusniaga 1MDB.

"Ini menunjukkan konflik kepentingan yang jelas bagi Najib yang berada di dalam siasatan," katanya.

"Selain itu, siasatan juga dilakukan ketua audit yang merupakan orang bawahan menteri dalam kementerian kewangan," katanya.

Sehubungan itu, Pua berkata, jabatan audit perlu dipisahkan daripada kementerian tersebut dan diletakkan di bawah Parlimen seperti mana amalan di negara-negara moden dengan demokrasi yang progresif seperti United Kingdom.

Pua berkata, perkara itu boleh dilaksanakan Najib dengan mengambil langkah pantas menjadikan jabatan berkenaan sebagai sebuah entiti bebas.

"Beliau boleh melaksanakannya dengan memastikan jabatan berkenaan tidak melaporkan kepadanya, sebaliknya bertindak bagi pihak Parlimen," kata Pua.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .