» » 'Nazri Aziz patut belasah Najib Razak sebelum belasah orang lain kalau dia betul berani'


Ketika perbalahan antara Datuk Seri Najib Razak dengan Tun Dr Mahathir Mohamad makin memuncak ketika ini, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Nazri Aziz tampaknya seperti pembela utama dalam mempertahankan kedudukan perdana menteri.

Berbanding menteri dan pemimpin Umno yang lain, beliau semakin kerap muncul di dada media dengan apa sahaja yang ditanya mengenai serangan terhadap Najib akan dijawabnya dengan lantang, berani dan terus terang - sesuai dengan perwatakan semulajadinya.

Mereka yang mengenali Nazri tahu dan faham benar wataknya. Beliau tidak berpura-pura. Kalau menyokong, dia akan menunjukkan sokongannya tetapi kalau sebaliknya, dia juga akan menunjukkan penentangannya.

Di sisi Najib sekarang, beliaulah yang paling berani menyanggah Dr Mahathir, manakala yang lain agak berhati-hati dan masih menyimpan rasa hormat terhadap bekas perdana menteri yang banyak berjasa itu.

Ketika era Tun Abdullah Ahmad Badawi dulu, beliau jugalah antara yang paling lantang mempertahankan bekas perdana menteri itu daripada serangan Dr Mahathir.

Bagi Nazri, siapa perdana menteri itulah bosnya. Tidak lama dulu beliau pernah berkata, dalam dunia politiknya, hanya dua pihak yang perlu dijaganya - perdana menteri dan pengundinya di Padang Rengas.

Barangkali itulah antara sebab beliau masih kekal menjadi menteri sejak era Dr Mahathir dulu hinggalah sekarang.

Tidak saja Dr Mahathir yang berseteru dengan Najib sering dilawannya, bahkan Tuanku Mahkota Johor atau TMJ yang baru-baru ini mengkritik perdana menteri kerana tidak hadir dalam forum Nothing To Hide, turut menjadi sasarannya.

Nazri memberi ingatan kepada TMJ agar tidak mencampuri urusan politik negara berikutan kedudukannya sebagai bakal raja akan mencemarkan kedudukannya.

"Saya rasa beliau harus menjauhkan diri daripada politik, jika tidak, beliau juga akan dapat benda yang sama. Kita akan belasah dia.

"Kalau dia mula mengulas mengenai politik dan kita belasah balik, maka dia jangan marah," kata Nazri mengingatkan.

Tindakan Nazri ini bagaimanapun mengundang polemik yang pantas di media sosial.

Sementara ada yang bersetuju dan menyatakan kebenaran terhadap kata-kata Nazri itu, ramai juga mengatakan beliau kelihatan agak biadap dengan keluarga diraja Johor itu lantaran berani memberi ingatan sedemikian rupa.

Sebahagian pula mengatakan kerabat Johor ada hak menegur dan mengingatkan pemimpin Umno kerana parti itu sendiri ditubuhkan di Istana Johor.

Bekas perdana menteri, Dr Mahathir juga bersetuju TMJ ada hak memberi teguran dan pandangan, kecuali ada undang-undang yang melarang daripada berbuat demikian.

Dalam hal ini, Nazri juga perlu diingatkan penglibatan Raja, Sultan atau keluarga diraja dalam politik bukanlah perkara asing sebenarnya.

Selain ada Sultan di negeri tertentu yang memberi teguran atau sokongan terbuka kepada pemimpin kerajaan, Najib sendiri pernah menghebohkan sokongan Sultan terhadapnya.

Pada 23 Mei lalu, dalam usahanya meyakinkan rakyat kepimpinannya masih diyakini berikutan kritikan serta desakan meletakkan jawatan Dr Mahathir, Najib secara terbuka mengatakan Sultan Pahang menyokong dan mahukannya terus kekal sebagai perdana menteri.

Kenyataan ini bukan saja turut dilihat sebagai campur tangan istana dalam politik, bahkan yang lebih buruk dan memalukan ialah tindakan Najib sendiri memperalat, menjaja dan menghebahkan sokongan Sultan Pahang terhadapnya.

Secara langsung dan penuh sedar, ia menunjukkan Najib sendiri yang mengheret nama Sultan dan istana demi keuntungan politiknya.

Sebelum mahu memberi ingatan kepada TMJ, Nazri sepatutnya membelasah perbuatan Najib itu terlebih dahulu.

Oops… berani ke melawan bos?



About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .