Penganjur dialog menjelaskan ketidakhadiran Datuk Seri Najib Razak pada program yang dijadualkan menemukan beliau dengan Tun Dr Mahathir Mohamad disebabkan polis menasihatinya agar tidak berbuat demikian.
Menurut SukaGuam yang menganjurkan dialog untuk Najib menjelaskan mengenai syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB), penganjur juga terpaksa membatalkan program itu di atas faktor keselamatan.
"Perdana menteri tidak hadir kerana polis nasihatinya supaya tidak hadir," kata presiden SukaGuam, Datuk Khairul Anwar Rahmat pada sidang media selepas dialog dibatalkan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur hari ini.
Program "Dialog PM Bersama NGO" hari ini dibatalkan walaupun Dewan Tun Hussein Onn, tempat berlangsungnya dialog itu, sudah dipenuhi orang ramai sejak awal jam 8 pagi lagi.
Khairul mendedahkan wujud provokasi sebelum dialog itu bermula yang dibuat pihak tidak bertanggungjawab dan faktor dewan yang terlalu kecil tidak dapat memuatkan lebih 1,000 orang hadirin sebagai antara punca dibatalkan.
Dalam pada itu, beberapa pegawai polis cawangan khas (SB) yang berpakaian biasa turut didapati berada dalam dewan, malah ada antaranya berada dalam kumpulan yang merempuh masuk dewan.
Program yang sepatutnya bermula 10 pagi itu tergendala hampir setengah jam sehingga penganjur mengumumkan pembatalan atas faktor keselamatan.
Bagaimanapun, Khairul berkata akan cuba mencari satu tarikh baru bagi mengadakan program dialog sama itu.
"Kami akan cari tarikh baru untuk meneruskan program seperti ini," katanya.
Terdahulu, polis menghalang Dr Mahathir dihalang daripada meneruskan ucapannya di PWTC dan bertindak mematikan mikrofon ketika bekas perdana menteri itu sedang bercakap mengenai isu 1MDB.
Najib sebelum ini mengatakan dirinya sebagai seorang pahlawan dan berkata tidak akan meletak jawatan hanya kerana desakan seorang individu.
No comments: