» » Najib Razak telah memalukan diri sendiri serta semua anggota Kabinet Malaysia


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bukan sahaja memalukan dirinya sendiri apabila membatalkan forum terbuka “Nothing to Hide” tetapi juga melibatkan maruah anggota kabinetnya dan juga kredibiliti kerajaan.

Tidak sewajarnya beliau sebagai perdana menteri yang dikelilingi penasihat keselamatan tidak dapat menjangka perkara ini akan berlaku apabila dengan gah beliau mempromosikan "saya bersedia untuk mendedahkan segalanya"

Oleh kerana ketidakikhlasan dalam penganjuran ini dan lebih kepada untuk menunjukkan keberanian, keterbukaan dan "kebersihan", maka akibatnya adalah kehilangan kepercayaan rakyat yang amat parah.

Alasan pembatalan itu kerana keselamatan dan atas keputusan polis sendiri dilihat sebagai membodohkan rakyat yang terbukti daripada suara rakyat yang meletup menyeluruh menerusi media sosial yang merasa mereka cuba dibodohkan.

Lebih memburukkan imej Najib apabila hal ini berlaku sehari selepas beliau mendabik dada sebagai "Pahlawan Bugis" yang gagah berani, yang tidak pernah takut melawan tetapi beliau hilang dari medan perjuangan sebelum peperangan bermula.


Tujuan utama anjuran forum "Nothing to Hide” adalah perang sarap untuk meyakinkan rakyat tidak ada apa-apa yang hendak disembunyikan oleh Najib di sebalik berbagai prasangka buruk terhadapnya kerana masalah kewangan 1MDB.

Dari awal saya mengesyaki ini adalah suatu perancangan “stage manage” perang sarap dari peringkat penganjuran, kehadiran, panel penanya (yang tentunya dalam senarai moderator) hingga kepada tukang sorak dan pembicara-pembicara pembantu .

Mungkin kerana terlalu yakin kepada Lim Kok Wing penasihat baru media, maka Pejabat Perdana Menteri tidak mendapatkan nasihat pihak polis tentang perkara-perkara yang tidak diduga akan berlaku.

Kehadiran Tun Dr Mahathir Mohamad mungkin tidak dijangka tetapi bila forum ini dihebohkan sebagai terbuka maka saya sendiri bertanya bagaimana kalau Dr Mahathir hadir.

Sehingga pagi ini beberapa orang profesional yang mengunjungi kafe saya di Presint 8 Putrajaya bertanya tentang kemungkinan itu dan saya berkata mengetahui sikap Dr Mahathir, beliau akan hadir. Dalam perjuangan Dr Mahathir akan turun sehingga ke peringkat paling bawah, beliau sanggup menjadi “street fighter”.

Dr Mahathir hadir untuk mendengar penerangan Najib sebagai orang biasa dan bukannya untuk berdebat tetapi ternyata forum ini adalah drama pentas apabila para wartawan tidak dibenarkan dan kehadiran Dr Mahathir menjadi suatu masalah besar yang menyebabkan akhirnya forum itu terpaksa dibatalkan apabila Dr Mahathir menggantikan Najib untuk memberi penerangan.

Kegagalan Najib menepati janji sekali gus menjatuhkan keyakinan rakyat kepadanya kepada taraf paling rendah keyakinan, kejujuran dan keikhlasannya dipersoalkan serta merta di seluruh negara.

Impak kepada kejadian ini sangat berat kepada perancangan Najib untuk mengadakan jerayawala (road show) di seluruh negara. Beliau akan berhadapan dengan rakyat yang tidak percaya kepadanya. Beliau berbohong kepada mereka mengatakan beliau seorang wira Bugis, pahlawan Bugis yang gagah berani.

Perasaan demoralising ini tidak menekan Najib tetapi pastinya turut dirasakan oleh seluruh anggota Kabinet yang merasakan diri mereka ada integriti kerana mereka berada di bawah pimpinan seorang pemimpin yang hilang kepercayaan rakyat.

Tidak pernah dalam sejarah negara seorang perdana menteri dimalukan sebegini rupa. Seluruh anggota Kabinet wajib memikirkan apakah langkah yang sewajarnya untuk mereka lakukan bagi menebus maruah kepimpinan negara dam bagi mengembalikan keyakinan dan semangat rakyat sebelum pilihan raya akan datang.



About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .