DAP hari ini menuntut butiran pelaburan AS$1 bilion dari sebuah firma Abu Dhabi dalam syarikat dibebani hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan bertanya kenapa Kabinet mengesahkan perjanjian itu.
Setiausaha Publisiti Kebangsaannya Tony Pua berkata, meskipun menteri mengkritik dana pelaburan negara itu, yang setakat ini mengumpul RM42 bilion hutang, mereka nampaknya bersetuju dengan perjanjian itu tanpa sebarang soalan.
Beliau berkata, rakyat Malaysia tidak faham mengapa International Petroleum Investment Company (IPIC) sanggup membayar AS$1 bilion (RM3.6 bilion) untuk "transaksi yang tidak dapat ditentukan".
"Persoalannya ialah bagaimana Kabinet sebulat suara dan secara membuta tuli bersetuju dan menyokong keputusan menerima bayaran misteri AS$1 bilion dari satu pelaburan kerajaan luar bagi urus niaga yang tidak diketahui atau tidak dimuktamadkan?
"Mengapa tidak ada soalan yang ditanya mana-mana ahli Kabinet? Adakah kerana mereka memahami dengan sempurna cadangan 'pelan penyusunan semula' yang dibentangkan itu dan oleh itu tidak perlu mempersoalkannya?
"Atau kerana mereka takut dengan ancaman Datuk Seri Najib Razak: 'Jika sekiranya, ada antara anda yang tidak selesa dengan perkara ini, sila serahkan atau tulis (surat peletakan jawatan), dan saya akan faham'?" soal Pua dalam satu kenyataan.
Jumaat lepas, Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, IPIC akan menyuntik AS$1 bilion ke dalam 1MDB untuk pembayaran awal pinjaman bersindiket AS$975 juta dari Deutsche Bank.
sumber
No comments: