» » Kecam Nazri Aziz kerana kata tiada wang hilang dalam skandal 1MDB


Datuk Seri Najib Razak perlu disiasat atas kesalahan penipuan pilihan raya, kata wakil rakyat DAP, selepas Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz mempertahankan perdana menteri dan penggunaan dana awam daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata berdasarkan hujah Nazri, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menyiasat Najib dan 1MDB atas dakwaan penipuan pilihan raya, kemungkinan menggelapkan wang rakyat dan pecah amanah.

“Walaupun Nazri mengatakan ‘merompak wang daripada sumber tertentu untuk membiayai perkara lain’ adalah dibenarkan, ia tidak menjelaskan langsung ke mana hilangnya wang 1MDB.

"Perdana menteri, Genting Group, 1MDB dan YR1M (Yayasan Rakyat 1Malaysia) bukan saja perlu disiasat SPR kerana melakukan penipuan dalam pilihan raya, tetapi polis dan SPRM juga perlu siasat atas kesalahan penyelewengan dan kemungkinan menggelapkan dana awam, pecah amanah dan rasuah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pua berkata demikian mengulas kenyataan Nazri yang mempertahankan hutang besar 1MDB dengan mengatakan jika laporan Wall Street Journal (WSJ) baru-baru ini yang mendakwa 1MDB menyediakan wang untuk Najib berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) adalah benar, maka terbukti wang itu sebenarnya digunakan untuk rakyat.

"Sekiranya laporan WSJ itu terbukti benar, jadi baguslah, kerana ia menunjukkan wang itu tidak hilang. Jadi mengapa anda (mengkritik) mengatakan wang itu hilang?

"Apa salahnya dengan (Kementerian Kewangan pemilikan sepenuh 1MDB) wang dibelanjakan untuk rakyat?" soal Nazri seperti dilaporkan Malaysiakini.

"Ini bukan penyelewengan dana. Ini menunjukkan kita tidak membazirkan wang," katanya mengulas laporan WSJ yang mendakwa 1MDB membiayai Najib dalam kempen PRU13 melalui pembelian aset kuasa.

WSJ melaporkan, 1MDB membeli aset daripada Genting Group pada 2012 pada harga 5 kali ganda lebih tinggi daripada nilainya, dan Genting kemudian membuat sumbangan kepada yayasan yang dikawal Najib.

Menurut WSJ, yayasan itu, Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M) kemudian mengumumkan beberapa projek amal yang kemudian digunakan Najib dalam kempennya.

Pua berkata, rakyat Malaysia seperti tidak percaya Nazri boleh mengeluarkan kenyataan seperti itu.

“Ia adalah saat ‘OMG’ kerana ia buat kita terfikir, adakah Nazri baru saja mengesahkan tindakan perompak, dan mungkin sebahagian kekayaannya yang diperoleh secara haram turut didermakan kepada badan amal,” katanya.

Pua yang juga setiausaha publisiti kebangsaan DAP berkata, jika laporan WSJ adalah benar, ini bermakna 1MDB ‘sangat terlebih bayar’ kepada Genting untuk aset jana kuasa itu, hingga membenarkan ia mendapat keuntungan RM1.9 bilion bagi aset bernilai RM400 juta.

“Nazri kena jawab jika, hanya kerana RM190 juta daripada RM1.9 bilion keuntungan luar biasa diberikan kepada ‘badan amal’, adakah memang wajar 1MDB terpaksa terlebih bayar untuk asetnya?

“Lebih teruk lagi, tidak ada langsung dokumen berkenaan YR1M di Suruhanjaya Syarikat Malaysia, sebuah syarikat berhad dengan jaminan, dalam apa jua yang berkaitan dengan kerajaan. Sebaliknya, YR1M kelihatan seperti syarikat swasta dikawal sepenuhnya oleh perdana menteri,” katanya.

Pua yang merupakan salah seorang pengkritik lantang 1MDB mempersoalkan mengapa kerajaan tidak secara langsung dan telus mengedarkan "wang kebajikan" itu tetapi sebaliknya memilih untuk menyerahkannya melalui YR1M.

"Tambahan lagi, WSJ juga mendakwa dana YR1M digunakan untuk membayar perbelanjaan kempen pilihan raya dan risalah Barisan Nasional (BN). Adakah Hasil haram daripada kerajaan tidak boleh dijustifikasi penggunaannya bagi BN dan perdana menteri bagi peribadi kepentingan politik?

"1MDB dikritik kerana kerugian antara RM15 bilion hingga RM25 bilion daripada hutang RM25 bilion. ‘Sumbangan’ Genting sebanyak RM190 juta tidak menjelaskan 1.3% daripada jumlah dana yang hilang. Oleh itu, Nazri amat tidak jujur mengatakan laporan WSJ membuktikan dana 1MDB tidak hilang," katanya.

Dalam satu respons kepada WSJ, Pejabat Perdana Menteri berkata, dakwaan tersebut tidak berasas.

Hutang 1MDB, syarikat milik Kementerian Kewangan menjadi teruk dalam tempoh 6 tahun sejak penubuhannya itu mengundang kritikan, termasuk daripada bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .