» » 'Forum Nothing To Hide dibatalkan kerana ancaman keselamatan yang serius'


Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini menegaskan keputusan membatalkan forum "Nothing To Hide" yang sepatutnya dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pagi tadi dilakukan kerana ancaman keselamatan serius.

Katanya selepas meneliti segala maklumat diterima, beliau mendapati ancaman itu cukup serius hingga menyebabkan beliau membuat keputusan membatalkan acara itu meskipun perdana menteri tidak gembira dengan saranannya.

Khalid juga menafikan keputusannya untuk membatalkan forum mempunyai kaitan politik.

"Saya bukan ahli politik jadi saya tidak akan jawab soalan mengenai politik.

"Perdana menteri tidak gembira namun saya jelaskan sendiri kepada beliau dan difahamkan beliau sendiri sudah bersiap untuk hadir ke acara itu tapi saya gesa untuk Najib tidak datang.

"Ia keputusan saya dan cukup serius (ancaman) sehingga saya buat keputusan untuk membatalkannya," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis, Bukit Aman, hari ini.

Najib tidak hadir dalam program tersebut selepas Khalid mengarahkannya dihentikan atas faktor keselamatan.

Forum yang gagal dihadiri Najib itu menjadi panas selepas polis menghalang Tun Dr Mahathir Mohamad daripada bercakap dan mematikan mikrofon.

Tindakan polis itu menyebabkan hadirin marah dan menjerit kepada mereka.

Mengulas mengenai tindakan polis yang menghentikan ucapan Dr Mahathir, Khalid berkata ia adalah kerana arahannya membatalkan acara tersebut.

"Apabila saya kata majlis itu dibatalkan maka semuanya perlu dibatalkan tidak ada acara yang bersangkut paut termasuk ucapan daripada orang," katanya.

Pada masa sama beliau mendedahkan polis ada menerima maklumat mengenai dua kumpulan yang merancang untuk melakukan kekecohan pada forum tersebut.

"Di saat akhir majlis ini akan dilangsungkan kita menerima maklumat ada dua kumpulan tidak sehaluan merancang melakukan kekecohan.

"Dan selepas kita dan lihat penganjur tidak boleh mengawal keadaan tersebut, saya ambil keputusan untuk membatalkan kerana adanya tanda ketenteraman awam terancam," katanya sambil menambah beliau menggunakan peruntukan Kanun Tatacara Jenayah Seksyen 103.

Bagaimanapun Khalid enggan mendedahkan terperinci kumpulan tersebut namun mengesahkan adanya tangkapan yang dibuat pada acara tersebut.

"Tidak payah saya beritahu siapa memandai dengan maklumat sahih yang kita terima dan pantau dan itu tindakan diambil," katanya.

Menyifatkan keputusannya itu sebagai langkah pencegahan, Khalid berkata ini bukan kali pertama beliau memberi arahan pembatalan atas faktor keselamatan.

Antara lain KPN mengakui pihak penganjur ada berhubung dengan pihak berkuasa sebelum ini.

"Pihak penganjur ada menghubungi polis dan pada mulanya saya tidak menjangkakan ancaman itu, ia di saat akhir apabila kita mengesan adanya tindakan beberapa pihak yang cuba membuat kekecohan dan mengambil kesempatan.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .