Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memberi kata dua kepada mana-mana anggota Kabinet yang tidak menyokongnya dalam usaha memulihkan syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk meletak jawatan, lapor Utusan Malaysia.
Memetik sumber, akhbar milik Umno itu melaporkan, Najib membuat kenyataan itu sejurus selepas Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah selesai membentangkan pelan hala tuju 1MDB kepada anggota Kabinet pada mesyuarat Jumaat lalu.
Bagaimanapun, difahamkan tiada seorang pun anggota Kabinet berani tampil menyatakan pendirian mereka untuk tidak bersama Najib walaupun diberi peluang berbuat demikian.
"Perdana menteri meminta mana-mana anggota Kabinet yang tidak bersama dengan beliau dalam isu 1MDB meletakkan jawatan tetapi tiada seorang pun berbuat demikian," sumber itu dipetik berkata.
Difahamkan perkara itu turut dilaporkan portal berita Malaysia-today.net.
Selasa lalu, pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) Tan Sri Shahrir Abdul Samad turut menggesa perkara yang sama kepada menteri yang tidak bersependapat dengan keputusan kolektif Kabinet berhubung isu 1MDB.
Beliau bersetuju dengan saranan bekas Presiden Umno Tengku Razaleigh Hamzah supaya semua Kabinet memainkan peranan masing-masing dalam melaksanakan tanggungjawab mereka berhubung isu syarikat yang dibebani hutang itu.
Jumaat lalu, Kementerian Kewangan menjelaskan, sebuah syarikat pelaburan petroleum dari Abu Dhabi, International Petroleum Investment Company (Ipic) akan menyalurkan RM1 bilion kepada 1MDB dalam usahanya membayar hutang AS$975 juta yang akan matang tidak lama lagi.
Husni berkata, pembayaran daripada Ipic dan anak syarikatnya, Aabar Investments, merupakan sebahagian pelan rasionalisasi yang dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet pagi tadi.
"Bayaran AS$1 bilion ini akan digunakan untuk membayar semula hutang AS$975 juta sebelum tarikh akhir kepada pemberi pinjam wang antarabangsa.
"Perjanjian juga termasuk langkah komprehensif bagi menangani pelbagai aset kewangan dan transaksi liabiliti di antara pihak tertentu. Butiran lanjut akan diumumkan nanti," katanya.
sumber




No comments: